Oleh: Zihan Zari
ALOR SETAR – Buat Pegawai Perhubungan Awam dan Dokumentasi, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Kedah, Leftenan (PA) Norashikin Ahmad Zawawi, 37, yang berkongsi tarikh sempena sambutan Hari Kebangsaan ke -67, memberi makna cukup istimewa buat dirinya yang dilahirkan tanggal 31 Ogos 1987.
“Saya bertuah menjadi rakyat, bergelar anak Malaysia, amat bangga walaupun tidak menyaksikan peristiwa kemerdekaan bagi negara pada 31 Ogos 1957, namun ianya menghidupkan kembali semangat patriotik saya.
“Inilah momen yang paling berharga dan amat bermakna buat diri saya kerana Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tarikh itu, begitu keramat dan bersejarah.
“Saya bersyukur dengan kemerdekaan yang telah sekian lama bertahan, dan terus kekal, Malaysia negara kita, tempat saya dilahirkan, dan tempat saya membesar, ”katanya kepada Wartawan SUARA.TV
Norashikin berasal dari Naka, Kuala Nerang, anak ke 4 daripada 8 adik beradik ini, telah berkhidmat di APM Kedah selama 14 tahun turut diwawancara oleh Dj CTZ dalam KEDAH fm dalam slot bicara ‘Saya Anak Malaysia’ oleh Dj CTZ baru-baru ini.
Beliau berkata, tugas sebagai seorang pegawai APM yang amanah bukan sekadar kerjaya, namun sebahagian tanggungjawab dalam hidupnya dalam menjalankan tugas demi negara tercinta.
“Ketika bertugas di APM daerah Pendang dan Yan selama 9 tahun beliau telah melaksanakan tugasan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat terjamin terutamanya kes-kes yang melibatkan operasi banjir.
“Detik yang sukar dilupakannya ialah menjalankan tugasan paling mencabar, ketika negara di landa pandemik Covid-19 pada 2020, apabila APM diamanahkan bagi membantu mengekang penularan wabak itu.
“Saya telah diarahkan mendapatkan dokumentasi dan bersama-sama anggota APM dan dikehendaki menguruskan jenazah Covid-19 untuk di bawa dari hospital hingga ke tapak pengkebumian jenazah atau ke tempat pembakaran mayat, ”katanya
Mengulas mengenai sambutan Hari Kebangsaan beliau gembira dapat berkongsi tarikh yang bersejarah ini kerana Malaysia bebas daripada sebarang bentuk penjajahan hasil jerih perih wira-wira dan pemimpin terdahulu hingga ada yang berkorban nyawa demi tanah air.
Justeru itu, pentingnya kita kekalkan keamanan negara yang ada kini dan
wajar bagi sebagai rakyat Malaysia kita tanamkan semangat jati diri yang tinggi dan mengatakan bahawa inilah negaraku yang tercinta.
“Laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali yang bergema di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos 1957 oleh Bapa Kemerdekaan, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sentiasa tersemat di sanubarinya.
“Sekaligus menghidupkan kembali semangat patriotik dan mengingatkannya tentang sumbangan dan pengorbanan pemimpin masa lalu yang mendapatkan kemerdekaan negara.
“Jangan tanya apa yang negara lakukan untuk anda, tanya apa yang anda lakukan dan beri kepada negara, namun kita jarang sekali bertanya kepada diri sendiri, apa yang kita boleh sumbangkan kepada negara, ”katanya lagi.
“Sebagai rakyat Malaysia kita perlulah menerapkan nilai yang baik serta semangat patriotik, dalam diri masing-masing dan hayati prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan asas yang kukuh dan Perlembagaan Persekutuan sememangnya menjamin keharmonian dan kedudukan semua bangsa di negara ini.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, berharap agar rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lebih bersemangat untuk meraikan hari bersejarah ini kerana merekalah penerus hala tuju negara pada masa depan kelak, ”ujarnya.
“Kenanglah jasa dan pengorbanan wira-wira terdahulu berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi tanah air kita yang tercinta.
“Mereka berjuang dengan penuh tekad mempertahankan kedaulatan negara dan menuntut kemerdekaan, oleh itu generasi sekarang perlu mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi ketika ini
“Kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik untuk menunjukkan kesetiaan kita kepada Malaysia, ia cukup bermakna bagi menzahirkan perasaan cintakan tanah air, ujarnya lagi.
“Raikanlah detik bersejarah ini sambil kita menghayati apa itu erti sebuah negara berdaulat, hargai tanah air kita bersama Malaysia yang tercinta ini sentiasa dilindungi Allah SWT dan kekal aman, damai dan harmoni, ”tambahnya. – SUARA.TV