Sean Lee makin ligat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas menambat hati peminat dalam program realiti, I Can See You Voice Malaysia (ICSYVM) dan lakonan mantap dalam drama Melayu, Sean Lee Jia Ern atau lebih dikenali sebagai Sean Lee, pantas mengatur langkah.

Terbaharu, Lee berjinak-jinak dalam dunia nyanyian pula.

Menyumbangkan vokal dalam projek lagu raya dan Hari Kemerdekaan bersama World Peace (WP) Entertainment, Lee bagaimanapun, tidak berhasrat menjadi penyanyi serius.

Sebaliknya, Lee tampil dengan lagu Harmoni Aidilfitri dan Warna Merdeka bagi mencari pengalaman.

Tidak terhenti di situ, jejaka berusia 26 tahun itu sedang berjinak-jinak dalam dunia penerbitan dan bakal mengarahkan sendiri filem pendek untuk platform YouTube, yang dijangka ditayangkan, Disember depan.

Berkisar kisah percintaan, filem itu, menurut Lee, adalah percubaan sebelum dia melangkah lebih serius dalam dunia penerbitan dan pengarahan.

“Filem pendek itu dihasilkan dengan bajet sendiri. Projek ini boleh dianggap batu loncatan sebelum saya membuat keputusan untuk serius menjadi pengarah atau penerbit.

“Memandangkan baru hendak mencuba, jadi saya memilih menghasilkan filem pendek terlebih dahulu.

“Mungkin selepas ini, tidak perlulah saya berlakon dengan kerap. Sebaliknya, saya boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari dalam bidang seni persembahan ketika menuntut di Universiti Sunway ke dalam bidang pengarahan,” katanya kepada BH Online.

Bakal berlakon dalam filem itu yang mengambil latar sambutan Hari Natal, Lee mahu menerapkan semangat muhibah dalam drama berkenaan.

“Saya lihat kita kekurangan karya yang menampilkan kisah atau mengetengahkan kepelbagaian bangsa dan bahasa.

“Jadi, untuk filem pendek yang bakal saya terbitkan, ia akan memasukkan elemen semua bangsa dan bahasa yang digunakan di Malaysia.

“Saya akan bertutur dalam bahasa Inggeris untuk filem pendek itu. Namun, kita akan paparkan babak di mana saya akan bercakap dalam bahasa Melayu.

“Saya juga akan paparkan situasi sebenar gaya hidup masyarakat berbilang bangsa di Malaysia,” katanya.

Menurut Sean Lee, filem pendek itu adalah ideanya, namun, dibantu rakan untuk pengolahan skrip.

Mengulas mengenai kerjaya lakonan, Lee sedang menjalani penggambaran telefilem Aku Roda & Brownies serta sebuah drama Romantika 3 Hari 2 Malam sebanyak 13 episod untuk TV3.

Akui Lee, momentum kerjayanya bertambah baik selepas beberapa bulan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lee yang bermula sebagai YouTuber berkata, selepas membuat kemunculan sulung pada 2015, dia sangat berpuas hati kehadiran dalam dunia lakonan diterima baik peminat dan penerbit.

“Saya tidak pernah memilih watak. Biarpun sering diberi watak jejaka beragama Islam, saya tidak pernah menolak. Bagi saya, ia sekadar lakonan,” katanya.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat