Mukhriz Kecewa Anak, Menantu Ingkar Arahan PKPP

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui anak perempuan dan menantunya ditahan oleh polis di sebuah pub kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden Parti Tanah Air (Pejuang) itu berkata, anak dan menantunya telah membayar kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut.

“Memang benar bahawa anak dan menantu saya telah dibawa ke balai bersama dengan 27 orang yang lain di atas kesalahan melanggar ‘curfew’ PKPP.

“Mengikut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis Kuala Lumpur, mengikut undang-undang yang berkaitan, mereka semua telah dikenakan kompaun RM1,000 dan semua dah bayar termasuk anak dan menantu saya,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Tanpa berselindung, bekas Menteri Besar Kedah itu juga mengakui, beliau terkilan dengan tindakan anak dan menantunya itu.

Mukhriz berkata,  nasihat juga telah diberikan kepada ahli keluarganya supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Saya sudah pesan kepada semua keluarga saya juga musim PKPP ini janganlah langgar kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik dan itu sebabnya saya memang kecewa bahawa pelanggaran tetap berlaku juga.

“Tetapi kita sudah beri teguran dan memang patut dia kena kompaun oleh pihak polis,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pelanggaran SOP itu boleh menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mukhriz menegaskan, perkara itu tidak memberi kesan langsung.

“Saya ingat ia tiada kena mengena. Kalau nak ikut kesan banyak lagi isu-isu di luar sana yang mungkin menjejaskan peluang calon BN (Barisan Nasional) tetapi kita tak nak kaitkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mukhriz enggan mengulas lanjut mengenai dakwaaan anaknya ditahan dalam keadaan mabuk.

“Ada pelanggaran SOP PKPP itu sahaja. Jadi, itu kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak tak berkenaan di luar daripada kenyataan rasmi polis, saya tak layan,” tegasnya.

Bahkan, Mukhriz juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana bersikap adil dan tegas dalam mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang melanggar arahan PKPP.

Semalam, media tempatan melaporkan anak perempuan Mukhriz ditahan di sebuah kelab malam kerana melanggar PKPP.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat