Penduduk Tiga Zon Di Aman Jaya Dikenakan PKPD Mulai Malam Ini

- Advertisement -

SUNGAI PETANI – Penduduk sekitar Zon Kenanga, Mawar dan Melur di Aman Jaya bersiap sedia untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula malam ini.

Tinjauan di tiga zon itu mendapati kebanyakan penduduk di kawasan terbabit mula membeli barangan keperluan, petang tadi untuk kegunaan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Peniaga jeruk dan makanan ringan, Noranasihah Amizi, 28, berkata, perniagaannya pastinya terjejas kerana baharu mula berniaga selepas berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

“Masa PKP dulu, saya berniaga melalui pakej penghantaran ke rumah (COD) tetapi kurang mendapat sambutan kerana sebelum COVID-19, saya berniaga di pasar malam.

“Namun, saya sudah beli barang keperluan rumah untuk menghadapi PKPD yang dilaksanakan tetapi tidak tahu sampai bila ia akan berakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kakitangan swasta, Mohd Zamri Mazlan, 32, pula berkata, dia sudah membeli barangan keperluan makanan selama tiga bulan kerana tidak tahu apa yang berlaku ketika PKPD dilaksanakan.

Katanya, apa yang penting keperluan susu untuk bayinya yang berusia lima bulan kerana bimbang susah untuk mencari stok.

“Saya buat persiapan awal kerana pengalaman ketika PKP dulu membuatkan saya dan keluarga lebih bersedia. Nak keluar pun kena pakai pelitup muka dan sediakan cecair sanitasi kuman kerana kita tak tahu sapa yang kita akan jumpa. Takut ada yang positif,” katanya.

Mekanik, Ahmad Firdaus Yajunas, 35, berkata, ramai pelanggan menghubunginya dan minta kenderaan mereka siap dengan cepat kerana tak tahu bila tempoh PKPD itu tamat.

“Banyak alat ganti kenderaan tidak dapat dibeli kesan daripada PKP lalu menyebabkan terpaksa keluar mencarinya. Saya sudah beli barang makanan untuk seminggu dan harap ia mencukupi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan TEMCO akan dilaksanakan di Aman Jaya, Sungai Petani pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

PKPD Secara Pentadbiran itu membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan semua mereka akan disaring. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat