Bukan Sahaja Najib Tapi Kehakiman Juga Akan Diadili Esok

- Advertisement -

ESOK adalah hari penentuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sama ada akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 5 Jun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menetapkan 28 Julai 2020 sebagai tarikh keputusan.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah mengemukakan hujahan bertulis yang panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat, untuk membantu mahkamah dalam memastikan dan menilai, serta menentukan, sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Saya mahu menyampaikan keputusan muktamad saya terhadap tujuh pertuduhan itu pada bulan depan, pada 28 Julai, 10 pagi,” katanya.

Pendakwa Raya yang dilantik Datuk V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam bela Najib, 67.

Rakyat Memerhati

Esok bukanlah titik noktah untuk bekas Perdana Menteri tersebut. Jika dibebaskan, pendakwaraya akan merayu ke Mahkamah Rayuan. Jika didapati bersalah, Mohd Najib pula akan merayu. Jadi esok sekadar satu lagi perjalanan panjang mencari keadilan buat Mohd Najib Razak.

Namun esok juga akan menjadi satu lagi detik penting kepada sistem kehakiman dan keadilan negara. Setiap kali kes membabitkan personaliti politik dihadapkan ke mahkamah, maka cakap-cakap campur tangan kerajaan akan sentiasa menjadi topik perbincangan.

Justeru esok bukan sahaja Mohd Najib akan menjadi perhatian, dalil-dalil keputusan Hakim Mohd Nazlan juga akan diteliti dan diperdebatkan.

Berhadapan personaliti hebat seperti Mohd Najib, Mohd Nazlan tidak boleh sekadar memberi keputusan tanpa satu hujahan penghakiman yang terperinci pada masa yang sama.

Mohd Nazlan tidak akan dapat menghilangkan rasa curiga rakyat apabila pada Mei 2020 lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, disebabkan wujud bahaya yang beliau mungkin bersikap berat sebelah.

Walaupun Mahkamah Rayuan menyatakan mereka tidak sesekali mempersoalkan integriti Hakim Mohd Nazlan atau keupayaan beliau untuk membuat keputusan dalam kes Tengku Adnan, namun keengganan Mohd Nazlan menarik diri secara sukarela sehingga memerlukan arahan Mahkamah Rayuan telah menimbulkan tanda tanya kepada pemerhati politik dan keadilan.

Dalam penghakiman 14 muka surat bertarikh 15 Mei lalu, Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mungkin bersikap berat sebelah walaupun beliau telah membuat deklarasi bahawa beliau tidak akan bersikap prejudis terhadap Tengku Adnan selepas menghakimi kes ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon.

“Kami berpandangan bahawa bahaya yang beliau (hakim) akan bersikap demikian wujud dan boleh berlaku.

Sikap Mohd Nazlan ini jauh berbeza dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan sendiri untuk menarik diri dari mendengar permohonan kerajaan untuk melucutkan hak terhadap harta berjumlah RM680 juta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada November lalu.

Collin menarik diri setelah dibangkitkan isu beliau turut menjadi hakim perbicaraan kes Najib Razak berhubung dana 1MDB yang mungkin akan menyebabkan berlaku ketidakadilan kepada tertuduh.

Hujah Pembelaan

Setelah dipanggil membela diri, pihak pembela berhujah Mohd Najib wajar dibebaskan kerana pendakwaraya gagal membuktikan kewujudan elemen salah guna kuasa (Crminal Breach of Trust – CBT) seperti dalam pertuduhan.

Menurut peguam bela Harvinderjit Singh, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Mohd Najib mempunyai kawalan untuk memindahkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) ke akaunnya seperti mana keperluan elemen dalam pertuduhan pecah amanah(CBT).

“Keseluruhan pertuduhan adalah membabitkan pecah amanah, namun pendakwaraya hanya membawa teori konspirasi bahawa Najib bersekongkol dengan ahli perniagaan buruan polis, Jho Low; Ketua Pegawai Eksekutif SRC; Nik Faisal Ariff Kamil, dan setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias, dalam pemindahan wang tersebut.

Secara ringkasnya hujah Harvinderjit, pertuduhan adalah mengenai Najib (didakwa) melakukan CBT (pecah amanah) sebanyak RM42 juta namun jelas Najib tiada kawalan dalam akaun SRC untuk membolehkan beliau melakukan pecah amanah.

Sepanjang perbicaraan pendakwaraya memberi gambaran mengenai konspirasi bukannya pecah amanah secara langsung seperti dalam pertuduhan.

Sementara itu seorang lagi peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee dalam hujahannya mempersoalkan sama ada benar dakwaan Mohd Najib adalah punca pemindahan dana daripada syarikat SRC International Sdn Bhd ke dalam dua syarikat lain sebelum dipindah masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee berkata, keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bekas eksekutif kanan itu menafikan Najib mengetahui wang itu berasal daripada SRC.

“Pembelaan juga membuktikan bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin menafikan ia adalah tandatangan beliau pada dokumen yang kemudian memindahkan dana daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd.”

Justeru adalah tanggungjawab Hakim Mohd Nazlan untuk menjawab apakah intipati hujahan ini dianggap munasabah dan mencukupi bagi membebaskan Mohd Najib atau menolak hujahan para peguam bela ini dan mengekalkan naratif pendakwaraya dan memutuskan Mohd Najib bersalah.

Realitinya esok, Mohd Najib dan badan Kehakiman akan diadili rakyat bersandarkan hujahan penghakiman Mohd Nazlan. – Suara TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat