PUTRAJAYA, –YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kini diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 25 Jun 2025. Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan rasmi hari ini mengesahkan pelantikan itu sebagai satu langkah bagi memastikan kesinambungan dasar dan pentadbiran ekonomi negara.
Datuk Seri Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II akan memikul tanggungjawab utama untuk menyemak semula dan merombak intipati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025.
Menurut kenyataan itu, semakan semula RMK13 akan mengambil kira maklumat tambahan daripada pelbagai kementerian serta pandangan dan ulasan yang telah dikemukakan oleh barisan Jemaah Menteri.
RMK13 dijangka menjadi dokumen penting bagi merangka hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan inklusif, pembaharuan struktur ekonomi, serta agenda kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik menjelang pembentangan RMK13, dengan tumpuan kepada konsolidasi dasar fiskal dan ekonomi dalam satu portfolio kepimpinan yang lebih terselaras.