PKR Cabang Jelebu Lumpuh, AJK Isytihar Keluar Parti

- Advertisement -

Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Jelebu lumpuh apabila 19 Ahli Jawatankuasa (AJK) mengumumkan keluarkan parti berkuat kuasa hari ini.

Pada sidang media hari ini di rumah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus di Kampung Geylang, AJK cabang berkenaan mengumumkan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar.

Mohd Faizal berkata, kegagalan presiden parti untuk mendamaikan dua kumpulan selepas pemilihan parti pada 2018 dan 2019 serta parti tidak lagi berada landasan sebenar perjuangan asal, antara faktor AJK dan ahli umum keluar PKR.

“Ia memberi imej yang tidak baik kepada parti apatah lagi kegagalan menghormati suara majoriti ahli parti yang memilih pasukan dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden pada pemilihan lalu.

“Perjuangan asal parti juga sudah lari daripada matlamat asal penubuhannya sebaliknya ketika ini hanya memperjuangkan cita-cita seorang individu sahaja,” katanya ketika membaca kenyataan pada sidang media berkenaan.

Mohd Faizal Fadli berkata, selain AJK, ahli dari 11 ranting cabang turut keluar parti sebelum ini.

Justeru itu pihaknya memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan hari ini dan akan merintis muafakat bersama pemimpin politik di Jelebu.

Selain Mohd Faizal Fadli, Naib Ketua Cabang, Naib Ketua AMK dan Ketua Srikandi Negeri Sembilan, Naib Ketua Wanita serta dua mantan Ketua Cabang antara yang mengumumkan keluar parti.

Hadir sama pada sidang media, bekas naib ketua AMK pusat, Nazri Yunus yang dipecat pada 1 April lalu dan bekas Timbalan Ketua Cabang Tang Jay Soon yang keluar parti pada 15 Mei lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat