NASA Umum Pelan Bina Pangkalan Kekal di Bulan Menjelang 2032

WASHINGTON: NASA mendedahkan perancangan terbaharunya untuk membina pangkalan kekal di Bulan menerusi penggunaan pelbagai teknologi termasuk pendarat robotik, dron melompat dan kenderaan rover sebagai sebahagian daripada program penerokaan angkasa lepas Amerika Syarikat (AS).

Program yang dikenali sebagai Ignition Moon Base itu dilihat sebagai usaha besar AS untuk kembali mendominasi perlumbaan angkasa lepas, khususnya ketika China sedang mempercepatkan rancangan menghantar manusia ke permukaan Bulan menjelang 2030.

Menurut NASA, beberapa syarikat utama termasuk Blue Origin milik pengasas Amazon Jeff Bezos, bersama Intuitive Machines dan Astrobotic telah dipilih untuk membangunkan mesin dan sistem pendaratan bagi misi berkenaan.

Pentadbir NASA, Jared Isaacman berkata pengumuman tersebut membuktikan AS tidak akan “kehilangan Bulan sekali lagi”.

Beliau turut menegaskan bahawa pangkalan di Bulan bakal membolehkan pelbagai eksperimen saintifik dijalankan selain membantu usaha perlombongan sumber bernilai dan memudahkan perjalanan manusia ke planet Marikh pada masa hadapan.

Dalam fasa awal, NASA merancang menghantar robot dan dron khas untuk meneroka serta memetakan kawasan mencabar di kutub selatan Bulan sebelum manusia dihantar ke sana.

Kenderaan rover pula akan digunakan untuk membawa angkasawan bergerak merentasi permukaan Bulan selain mengangkut peralatan komunikasi dan instrumen saintifik.

NASA turut memaklumkan bahawa sebanyak 25 pelancaran dirancang sehingga tahun 2029 melibatkan penghantaran kira-kira empat tan metrik kargo ke Bulan.

Selain itu, NASA mahu membangunkan sistem tenaga nuklear dan solar di Bulan termasuk reaktor pembelahan nuklear bagi menyokong penempatan manusia secara separa kekal menjelang 2032.

Kawasan kutub selatan Bulan dianggap penting kerana dipercayai mengandungi ais beku yang boleh dijadikan sumber air minuman serta menghasilkan oksigen.

Bagaimanapun, beberapa pakar mempersoalkan kemampuan NASA untuk memenuhi garis masa tersebut.

Menurut saintis Bulan dari Open University, Simeon Barber, China berpotensi menjadi negara pertama yang kembali mendaratkan manusia di Bulan.

“Saya tidak akan terkejut jika China yang akan tiba di sana terlebih dahulu.”” katanya seperti dipetik BBC News.

Beliau berkata kelewatan pembangunan kapal angkasa yang mampu membawa manusia mendarat dengan selamat menjadi cabaran terbesar buat NASA ketika ini.

Dalam masa sama, syarikat SpaceX milik Elon Musk yang diberi kontrak membangunkan kapal Starship Human Landing System turut berdepan beberapa kelewatan dan masalah teknikal.

“Pada saya, NASA kini berada dalam keadaan di mana mereka perlu mula menunjukkan bahawa mereka mempunyai perancangan. Jadi saya fikir terdapat banyak dorongan politik di sebalik perkara ini.” tambah Barber lagi memetik laporan BBC.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat