KUALA LUMPUR, – Malaysia terus mengorak langkah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menekankan kepentingan kerjasama serantau yang inklusif, mampan dan berpaksikan rakyat dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang kini memasuki hari kedua.
Dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa Perdana Menteri menegaskan pencapaian ASEAN dalam sedekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN membuktikan keupayaan rantau ini untuk terus bertahan dan berkembang di tengah dunia yang semakin mencabar.
“Nilai ASEAN Centrality dan semangat persaudaraan dalam kalangan negara anggota penting untuk memastikan kita terus bersatu dan bergerak ke hadapan secara kolektif,” katanya.
Malaysia turut mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan. Perdana Menteri menyifatkan sidang tersebut sebagai lambang perpaduan dan kebolehan ASEAN untuk menyesuaikan diri dengan realiti dunia multipolar.
Antara pencapaian utama hari pertama ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Our Shared Future, yang menjadi pelan jangka panjang untuk mengemudi Komuniti ASEAN dalam dua dekad akan datang.
Dokumen strategik itu merangkumi lebih 500 langkah konkrit termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti dan pelan keterhubungan serantau. Ia menumpukan kepada pembentukan pasaran tunggal yang mampan dan pintar, penglibatan belia dan wanita, serta penegasan prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus baik.
Sidang turut menyaksikan sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia serta sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), mencerminkan keterbukaan ASEAN terhadap suara rentas generasi dan sektor.
Mesyuarat dua hala juga berlangsung antara Malaysia dan beberapa negara termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait. Antara hasil utama ialah pemeteraian perjanjian Renewables and Interconnected Sustainable Energy (RISE) antara syarikat Malaysia, Singapura dan Vietnam, serta rundingan FTA ASEAN-GCC.
Hari Kedua Fokus Pengukuhan Kerjasama Strategik
Hari ini, ASEAN bakal memberi tumpuan kepada hubungan dengan rakan strategik menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan sidang trilateral ASEAN-GCC-China. Tumpuan akan diberikan kepada kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan.
Dua sidang sub-rantau juga berlangsung 16th BIMP-EAGA Summit dan 16th IMT-GT Summit yang bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi rentas sempadan dan keterhubungan antara negara-negara terlibat.
Tunku Nashrul menegaskan bahawa kejayaan hari pertama adalah bukti kesungguhan Malaysia dalam memainkan peranan utama membentuk masa depan rantau ini.
“Malaysia kekal komited untuk menjadikan ASEAN sebagai blok yang bermaruah, berpaksikan prinsip, dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Sidang kemuncak kali ini bukan sahaja menyerlahkan kepimpinan Malaysia di peringkat serantau, tetapi juga membuktikan keupayaan negara untuk menjadi pemacu utama ke arah Komuniti ASEAN 2045 yang lebih maju, makmur dan bersatu.