Hajiji ulang pendirian mahu pertahan kerjasama GRS-PH, sudah dimaklum kepada PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi pendirian mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk pakatan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerjasama GRS-PH membentuk kerajaan negeri yang ada sekarang adalah asas utama perlu diambil kira bagi menentukan kerjasama politik pada pilihan raya itu nanti.

Katanya, pendirian itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengumuman rasmi mengenai kerjasama berkenaan akan dibuat apabila tiba masanya.

“Kita mahu kerjasama GRS-PH yang ada sekarang kita pertahankan. Itu asas kita dan kita sudah sampaikan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Jadi yang lain-lain (parti) kita akan berbincang,” katanya selepas melancarkan jeti dan pengoperasian semula perkhidmatan feri Kota Kinabalu-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu, lapor BH di Sabah pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan perbincangan kerjasama PRN17 di antara GRS dengan gabungan dan parti lain.

Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan atau keputusan mengenai perkara itu memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan.

“Belum lagi PRN, bubar pun belum. Jadi sabar saja kamu tunggu, nanti kita beritahu,” katanya.

Hajiji sebelum ini sudah berulang kali menyatakan komitmennya untuk meneruskan kerjasama GRS-PH sebelum Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman mengenai kerjasama BN-PH.

Berikutan pengumuman itu, Hajiji dalam maklum balas sebelum ini menyatakan kesediaan GRS bertanding secara solo pada PRN17 atas pendirian bahawa kerajaan negeri mesti dipimpin parti tempatan selaku tonggak utama sebagai prinsip yang perlu dikekalkan.

Bagaimanapun, Anwar selaku Pengerusi PH ketika lawatannya ke Tawau pada 11 Mei lalu menyatakan harapan agar GRS turut terbabit dalam kerjasama BN-PH yang diumumkan melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada awal bulan ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat