KUALA LUMPUR- Memandangkan Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi, bekas menteri, Datuk Khairuddin Aman Razali mengesyorkan adalah lebih baik jika Datuk Seri Zuraida Kamaruddin dikekalkan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Khairuddin yang memegang portfolio sama sebelum Zuraida menambah, jika tetap perlu mengganti Zuraida, beliau mencadangkan agar Timbalan Menteri, Datuk Willie Mongin dilantik ke jawatan itu.

Zuraida semalam mengumumkan keluar Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, Bersatu berkata ia akan mencalonkan pengganti dari kalangan pemimpin mereka tidak lama lagi.

Mengulas mengenai rombakan yang akan berlaku, Khairuddin menyorot bahawa sudah tiga menteri berbeza memgang portfolio itu bagi penggal ini.

Malah, katanya, menteri baru perlu mempelajari selok-belok kementerian, dan perubahan di bawah kepimpinan baru boleh melibatkan tambahan kos.

“Perubahan pula tentu akan berlaku kepada pengerusi dan pegawai utama GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang dilantik oleh menteri sekarang.

“Ia juga melibatkan kos untuk sebarang perubahan menteri,” katanya memetik Malaysiakini.

Khairuddin berkhidmat sebagai menteri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau digugurkan di bawah pentadbiran Ismail Sabri.