CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh mempersoalkan keputusan kerajaan mengurangkan kuota subsidi RON95, menekankan bahawa golongan 10 peratus yang terjejas bukanlah orang kaya, sebaliknya rakyat berpendapatan sederhana yang bergelut dengan kos sara hidup harian.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menyatakan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas, perhatian seharusnya diberikan kepada kelompok minoriti yang langsung terkesan dengan pengurangan kuota 100 liter ini.
Menurut Akmal, golongan yang terjejas termasuk mereka yang terpaksa tinggal di luar bandar dan berulang-alik beratus kilometer setiap hari untuk bekerja, termasuk pasangan yang berpisah sementara demi komitmen keluarga.
“Pengurangan 100 liter subsidi RON95 bukan kemewahan, tetapi ruang bernafas. Apabila ia dipotong, kehidupan mereka menjadi semakin sempit,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal statistik, tetapi melibatkan keadilan sosial dan realiti kehidupan rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup meningkat.
Akmal turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan sama ada terdapat mekanisme khas bagi membantu golongan yang terjejas, termasuk fleksibiliti pelaksanaan dasar tersebut, agar minoriti yang paling terhimpit tidak terabai.
Beliau menambah bahawa walaupun rasionalisasi subsidi boleh difahami, langkah itu perlu disertai dengan penyelesaian yang mengambil kira kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat.



