KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandu rakyat memahami bahawa apa yang dilaksanakan hari ini adalah respons kepada ketidaktentuan semasa bukannya suatu keadaan kekal.
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata, jika tidak dijelaskan dengan baik, ia membuka ruang kepada persepsi “double standard” yang akhirnya menghakis kepercayaan.
“Saya mengikuti pengumuman kerajaan berkenaan langkah menangani kenaikan harga minyak susulan faktor luaran yang sedang berlaku ketika ini.
“Pada saya, cabaran utama bukan sekadar dasar, tetapi komunikasi dan pelan mitigasi yang difahami. Tugasan memahamkan dan dilihat memahami.
“Rakyat kebanyakan hari ini tidak melihat gambaran besar. Apa yang dirasai oleh mereka adalah kesan segera iaitu kos meningkat, tekanan bertambah.
“Tetapi penjelasan yang menghubungkan keadaan semasa dengan konteks global dan sifat sementara langkah-langkah ini masih belum cukup jelas.
Saya tidak melihat perkara ini sebagai seorang pakar ekonomi atau minyak dan gas. Saya melihat ini sebagai seorang rakyat.
Dan sebagai rakyat, pada saat ini apa yang lebih diperlukan adalah kepimpinan dan keyakinan,” saran Hafiz.
Tegas beliau, kerajaan perlu memandu rakyat memahami bahawa apa yang dilaksanakan hari ini adalah respons kepada ketidaktentuan semasa — bukan satu keadaan kekal.
Ujar Hafiz, keyakinan itu penting dan pada ketika ini tidak berapa ada.
“Selain itu, persoalan berkenaan perbezaan pendekatan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga perlu dijawab dengan lebih terbuka dan berfakta.
“Di sinilah pentingnya peranan mereka yang pakar-pakar itu untuk tampil memberi penerangan yang jujur dan menyeluruh bukan sekadar kenyataan umum di tolak kepada satu dua individu sahaja.
“Ia tidak mampu membentuk kefahaman, tidak menjawab keresahan sebenar rakyat,” katanya.
Menurut Hafiz lagi, rakyat bukan sekadar mahu dasar. Rakyat mahu kefahaman, kejelasan, serta kepimpinan yang mampu memberi keyakinan dan ketenangan bahawa kerajaan sedang mengawal keadaan dengan sebaiknya.
“Bukan merasai bantuan semakin berkurangan dan ditarik semula.
“Mesti ada gambaran bahawa masa depan akan kembali stabil dan kepedulian kepada mereka berada di aras paling tinggi,” katanya.



