KUALA LUMPUR, – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan keputusan kerajaan menurunkan had subsidi petrol RON95 kepada 200 liter sebulan sebagai langkah bersifat kosmetik dan tidak menyelesaikan masalah sebenar berkaitan krisis tenaga serta kenaikan kos sara hidup rakyat.
Tun Faisal berkata pendekatan tersebut dilihat tidak logik kerana Perdana Menteri sendiri mengakui majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
“Jika hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter, apakah rasional sebenar had ini? Kesan fiskalnya tentu terhad. Jadi, langkah ini nampak lebih simbolik daripada penyelesaian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan pengguna yang melebihi had itu terpaksa membeli petrol pada harga pasaran yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan tekanan kewangan mereka.
“Ini bukan solusi tetapi langkah punitif yang boleh menghukum rakyat yang memerlukan penggunaan lebih tinggi untuk bekerja dan meneruskan kehidupan,” katanya.
Tun Faisal juga mempersoalkan mengapa langkah pengawalan penggunaan bahan api tidak dikenakan secara sama rata terhadap golongan berpendapatan tinggi dan perniagaan besar, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih menikmati subsidi diesel.
“Mengapa rakyat biasa dikenakan had penggunaan, tetapi penggunaan berskala besar terus dibiarkan? Dasar sebegini tidak konsisten dan boleh dilihat sebagai tidak adil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa trend harga tenaga global yang menurun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini tidak diterjemahkan kepada pengurangan harga bahan api tempatan, sebaliknya rakyat terus berdepan kenaikan kos.
“Persoalannya, ke mana perginya penjimatan berbilion ringgit hasil pengurangan subsidi dan peningkatan cukai? Rakyat berhak mendapat penjelasan telus,” katanya.
Tun Faisal berpendapat kerajaan seharusnya menumpukan usaha kepada langkah praktikal seperti rundingan diplomasi tenaga dengan negara pengeluar minyak bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menunjukkan contoh kepimpinan melalui langkah penjimatan pentadbiran termasuk mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, mengehadkan lawatan luar negara serta menilai semula jawatan lantikan politik.
Selain itu, beliau menggesa pelaksanaan subsidi diesel bersasar kepada sektor kritikal seperti logistik makanan dan perusahaan kecil dan sederhana bagi mengurangkan kesan rantaian kenaikan harga bahan api terhadap kos barangan asas.
“Bantuan tunai sahaja tidak mencukupi kerana kos operasi perniagaan meningkat secara berterusan. Kerajaan perlu ada dasar yang lebih menyeluruh dan berstruktur,” katanya.
Beliau menegaskan pengurangan had penggunaan petrol daripada 300 liter kepada 200 liter tidak akan menyelesaikan masalah pokok ekonomi rakyat, sebaliknya berpotensi menambah tekanan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar. – SuaraTV



