KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak sebagai tindakan yang wajar dan memang perlu dilaksanakan.
Presiden UPKO merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, sebagai antara pengeluar minyak dan gas utama di Malaysia, Sabah dan Sarawak berhak menikmati subsidi bekalan diesel ketika harganya melonjak.
Katanya, jika ada pihak di Semenanjung yang mempertikaikan subsidi itu, mereka perlu melihat kedudukan dan keperluan dua negeri itu terhadap bahan api berkenaan.
“Kalau ada rakan-rakan di Semenanjung yang mempersoalkan kenapa Sabah mendapat subsidi diesel, tanya dulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu.
“Sabah adalah pengeluar minyak dan mesti jelaskan kepada Sabah apa yang telah dikembalikan semula kepada rakyat Sabah.
“Jadi, ini pandangan saya, jawapan saya kepada pihak di Semenanjung yang mempertikaikan kenapa Sabah diberi (subsidi) sedemikian,” katanya ditemui pada Sambutan Aidilfitri UPKO, di Putatan lapor BH di Sabah, malam tadi.
Beliau ditanya mengenai keputusan kerajaan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan harganya kekal rendah berbanding di Semenanjung seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata sejak Akta Petronas dikuatkuasakan, Sabah kehilangan sumber terbesarnya iaitu gas dan minyak.
“Jadi, saya pertahankan keputusan memberikan subsidi diesel, subsidi-subsidi lain yang diperlukan oleh rakyat Sabah kerana sememangnya kita berhak.
“Kita sudah subsidi pembangunan di tempat lain, jadi kembalikan apa yang Sabah ini sepatutnya dapat yang telah hilang sejak akta-akta tertentu diperkenalkan, terutama Akta Petronas,” katanya.



