KPDN Terima 99 Aduan Berkaitan Harga Makanan Bazar Ramadan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 99 aduan berkaitan harga makanan dijual di bazar Ramadan selepas lima hari umat Islam berpuasa.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penguat kuasa KPDN akan meneruskan pemantauan terhadap makanan dan minuman dijual di bazar Ramadan.

“Kita ambil pendekatan memberi nasihat, bukan denda dan bukan rampas.

“Jangan ulangi… berniagalah dengan baik, semua orang mahu cari rezeki,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout peniaga dan pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Bazar Ramadan Presint 14 di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, daripada aduan itu, pihaknya tidak dimaklum harga makanan yang melampau dikenakan peniaga, kecuali satu kes membabitkan nasi ayam berempah yang dijual pada RM15.

“Namun itu saya anggap kes terpencil, bila pegawai pergi periksa, gerai itu telah ditutup sebab dapat kritikan. Kebiasaan harga nasi ayam berempah sekitar RM9… kalau RM15 itu dianggap tidak berpatutan,” katanya.

Kisah nasi ayam berempah RM15 dijual bazar Ramadan di Seri Kembangan itu tular di media sosial selepas pembeli meluahkan kekecewaan mengenainya.

Mengenai BRR, Salahuddin berkata, sebanyak 38 lokasi beroperasi di seluruh negara termasuklah satu lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam menyantuni penduduk sekitar.

“BRR adalah inisiatif terbaru kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

“Ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu Rahmah untuk pengunjung,” katanya.

Antara kriteria BRR ialah sebahagian peniaga menawarkan Menu Rahmah, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.

Dalam pada itu, mengenai kekurangan bekalan telur ayam didakwa berlaku di Terengganu, Salahuddin berkata, maklumat daripada Jabatan Veterinar memaklumkan bekalan masih stabil.

“Kalau ada kes, ia hanya kes terpencil ataupun di tempat tertentu.. kalau ada berlaku, minta cepat maklumkan untuk kita bertindak. Setakat ini di peringkat nasional, bekalan stabil,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat