UMNO tak curang dengan PAS tapi kecewa terpaksa bermadu dengan Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui UMNO terluka dengan tindakan PAS yang bermain kayu tiga dengan Bersatu, meskipun tidak diceraikan namun dicurangi.

Ujar beliau tiada siapa menyangka dua parti induk Melayu-Islam yang berseteru 40 tahun lamanya, akhirnya mempaterikan agenda Penyatuan Ummah secara bersama di PWTC ini, atas nama Piagam Muafakat Nasional (MN) dengan linangan air mata syukur dan hiba.

“Namun siapa sangka, belum pun kering deraian air mata, belum pun reda hilai tawa bersama, kasih yang baharu berputik, terpaksa pula dikongsi dengan pihak ketiga.

“Dengan rasa berat hati, kita pasrah pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka.

” Semuanya ini berlaku tanpa diduga, tanpa dijangka. Yang pasti semuanya sudah termaktub dalam kitab aturan, ditakdirkan oleh Yang Maha Berkuasa,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di PWTC, hari ini.

Namun kata Asyraf bagaimana ‘kepala cuba disorokkan, punggung tetap juga kelihatan’.

” Sebab itulah UMNO jangan mudah tertipu dan mesti kenal kawan dan lawan. Siapa yang boleh dijadikan kawan tapi tidak makan kawan.

“Siapa yang sebenarnya lawan walaupun sudah berkawan. Yang penting UMNO jangan hilang arah dan mesti tegas, berani buat pendirian ‘bak menikam biar tembus, memancung biar putus, menggantung biar tinggi,” katanya.

Asyraf menegaskan, UMNO tidak pernah curangi kawan sebaliknya kita berpegang kepada janji dan ketetapan bersama dalam MN, termasuklah tidak pernah setuju menganggotai Perikatan Nasional (PN), walaupun akhirnya didaftarkan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan, tanpa persetujuan.

“Buat sahabat dan sekutu kami PAS di dalam MN. Ikhlas kami Pemuda katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.

“Pegang eratlah ikatan MN ini seutuhnya, jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga, kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua.

“Seruan Pemuda buat kepimpinan, berpakatlah dengan hikmah, berundinglah tanpa helah bak “kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari”. Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan,” ujar beliau.

Tegas Asyraf, Pemuda UMNO rela menjadi sebahagian daripada kudrat yang memikul jentera untuk kemenangan semua.

“Namun, Pemuda UMNO ingin ingatkan! Jangan sesekali khianat dan curang bak “duduk berkisar, tegak berpaling” kerana kesannya kelak boleh merosakkan kesatuan dan permuafakatan,” kata beliau. –SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat