KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini nampaknya semakin berlembut dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang nekad untuk memutuskan hubungan Bersatu sejurus Parlimen dibubarkan kelak.
Jika sebelum ini Ahli Parlimen Arau itu bertegas untuk sedia dibuang oleh UMNO pusat dan bergerak solo kerana tidak mahu memutuskan hubungan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Namun, nada Shahidan hari ini sedikit lembut dan memberitahu pilihan raya umum bukannya dalam tempoh terdekat ini untuk keputusan penting ini dimuktamadkan.
“Ini keputusan MKT untuk meneruskan kerjasama dengan PN sehingga pilihan raya, tidak boleh ada pendapat-pendapat yang berlainan daripada itu. Keputusan No DAP, No PKR itu keputusan MKT, kita ikut namun dunia kini dipengaruhi oleh media sosial yang memberi pelbagai pandangan, pandangan yang paling ‘tepat’ daripada itu.
“Apa keputusan kalau tak ikut, kena ambil tindakan, bukan media sosial ambil tindakan tetapi UMNO…kepada orang yang tak dengar arahan MKT.
“Buat masa sekarang semua ikut kerana keputusan tidak bersama PRU-15, lambat lagi mungkin setahun, dua lagi. Kenapa benda yang lambat lagi nak dibincangkan? Bincang macamlah pilihan raya esok,” katanya ketika ditemui media di PWTC, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perlis memberitahu pimpinan tertinggi UMNO ramai dalam Kabinet PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Wahai rakyat Malaysia keputusan untuk tidak bersama (Bersatu) ketika pilihan raya bukan sekarang.
“Sekarang ini kena kerjasama, ini kerajaan yang diperintah oleh PN yang UMNO majoriti dalam Kabinet,” tegas Shahidan.
Untuk rekod seramai 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Muhyiddin hari ini.
//