Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA- Bersempena Hari Perlindungan Mamalia Marin Antarabangsa, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memperkukuh komitmen pemuliharaan mamalia marin negara melalui pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan (NPOA) Dugong yang berteraskan dapatan saintifik terkini serta penambahbaikan kerangka perundangan secara menyeluruh dan progresif.
DOF dalam kenyataan berkata Dugong (Dugong dugon) merupakan spesies penunjuk bagi kesihatan ekosistem marin pesisir dan berkait rapat dengan kelestarian padang rumput laut yang menyokong produktiviti perikanan, perlindungan pantai serta penyimpanan karbon biru.
“Statusnya sebagai Rentan (Vulnerable) dalam senarai merah International Union for Conservation of Nature (IUCN) menegaskan perlunya pelaksanaan pemuliharaan yang bersepadu dan berterusan di peringkat nasional, ”kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata DOF sentiasa komited memperkukuh tadbir urus sumber marin melalui pendekatan berasaskan sains, pemantauan lapangan, penyelidikan serta kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau berkata DOF sedang dalam proses memindah Peraturan-Peraturan Perikanan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 iaitu Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999.
Katanya, melalui pindaan ini, sebanyak sembilan spesies mamalia marin akan dimasukkan ke dalam peraturan tersebut bagi memperkukuh aspek kawal selia, perlindungan serta penguatkuasaan undang-undang terhadap sebarang bentuk ancaman termasuk tangkapan sampingan dan gangguan habitat.
“Spesies mamalia marin itu, Balaenoptera omurai, Peponocephala electra, Feresa attenuata, Tursiops aduncus, Stenella coeruleoalba, Stenella attenuata, Ziphius cavirostris, Steno bredanensis dan Kogia sima.
“Spesies-spesies ini terdiri daripada paus dan lumba-lumba yang direkodkan terdapat di perairan Malaysia serta memerlukan pemantauan dan perlindungan tambahan bagi mengelakkan risiko kemerosotan populasi, ”katanya lagi.
Tegasnya, langkah pindaan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh DOF dalam memastikan pemuliharaan dugong serta mamalia marin lain dilaksanakan secara bersepadu, selaras dengan agenda biodiversiti negara dan sasaran peluasan kawasan perlindungan marin menjelang tahun 2030.
“Selain memperkukuh perlindungan di peringkat domestik, inisiatif ini turut menyokong pematuhan kepada standard perdagangan antarabangsa termasuk di bawah Marine Mammal Protection Act (MMPA) Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun Malaysia tidak tertakluk secara langsung kepada undang-undang tersebut, negara pengeksport produk perikanan ke AS perlu memastikan sistem pengurusan perikanan dan kawalan tangkapan sampingan (by-catch) adalah setara dengan standard perlindungan mamalia marin yang ditetapkan melalui penguatkuasaan oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), ”ujarnya.
Ujarnya lagi, penambahbaikan kerangka perundangan ini bukan sahaja memperkukuh pemuliharaan mamalia marin negara, malah meningkatkan daya saing industri perikanan Malaysia di pasaran global serta mencerminkan komitmen berterusan terhadap amalan perikanan yang lestari dan bertanggungjawab.
“Pendekatan berasaskan ekosistem yang digariskan dalam NPOA Dugong akan memberi tumpuan kepada pengurusan ruang marin, pemerkasaan komuniti pesisir, pengurangan risiko tangkapan sampingan serta perlindungan habitat kritikal termasuk padang rumput laut sebagai aset Karbon Biru negara.
“DOF akan terus mempergiat kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan bagi memastikan sumber marin negara diurus secara mampan, berdaya tahan dan memberi manfaat berterusan kepada industri perikanan serta generasi akan datang, ”tambahnya. – SUARA.TV



