Kuala Lumpur – Setelah hampir dua dekad mengukuhkan namanya dalam industri muzik Malaysia, Stacy akhirnya bakal merealisasikan impian mengadakan konsert mega solo pertama di negeri kelahirannya, Sabah. Konsert yang diberi nama “AKU STACY” ini akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 21 Jun 2025, dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dengan tajaan utama daripada U Mobile.
Dikenali sebagai “Ratu Tarian” Malaysia, Stacy bukan sekadar penyanyi biasa. Kehebatannya di atas pentas dengan vokal bertenaga dan persembahan penuh aksi menjadikannya antara artis paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air. Namun, konsert “AKU STACY” bukan sekadar sebuah pertunjukan muzik, tetapi satu penghargaan istimewa buat peminat yang telah bersamanya sejak awal perjalanan seninya pada tahun 2008.
Ummu Shaikhah Stacy Binti Anam, atau lebih dikenali sebagai Stacy, berasal dari Penampang, Sabah, dan dilahirkan pada 18 Ogos 1990. Kemunculannya dalam industri seni bermula apabila beliau menjuarai Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008. Sejak itu, Stacy terus mencipta fenomena dengan muzik pop yang segar serta koreografi tarian yang bertenaga.
Sebagai bukti keunggulannya, Stacy telah meraih pelbagai anugerah berprestij, termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Shout! Awards, Anugerah Juara Lagu (AJL), dan juga pengiktirafan negeri Sabah menerusi Darjah Ahli Kinabalu (ADK) pada tahun 2024. Kejayaan ini membuktikan dedikasi Stacy terhadap dunia seni dan pengaruhnya yang kekal relevan dalam industri muzik tempatan.
Mengulas mengenai konsert ini, Stacy meluahkan rasa teruja kerana akhirnya dapat melaksanakan projek yang telah lama dirancang.
“Saya pernah mengadakan konsert solo sebelum ini, tetapi ‘AKU STACY’ berbeza kerana saya sendiri terlibat dalam setiap aspek – dari pemilihan tenaga kreatif hingga konsep persembahan. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu pengalaman yang akan membawa penonton menyelami perjalanan muzik saya selama 17 tahun,” kata Stacy.
“AKU STACY” akan menampilkan susunan muzik dan visual yang menggambarkan evolusi muzik Stacy, diperkaya dengan unsur fesyen dan persembahan tarian yang sinonim dengan identitinya.
Lebih menarik, Stacy turut menjanjikan persembahan dengan tempoh masa paling panjang sepanjang kariernya, serta pelbagai kejutan istimewa buat peminatnya.
“Saya mahu memberikan satu pengalaman yang luar biasa buat penonton. Setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai kisah tersendiri, dan saya ingin membawa emosi serta nostalgia melalui muzik dan tarian yang lebih matang dan bertenaga,” tambahnya.
Bagi Stacy, konsert ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah hadiah buat peminat yang telah bersamanya sejak 2008.
“Saya tahu tanpa peminat, saya tidak akan berada di tahap ini. Ini adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka dengan cara yang paling bermakna – melalui muzik dan persembahan yang tidak akan mereka lupakan,” katanya penuh harapan.
Dengan pelbagai kejutan dan persembahan penuh tenaga yang menanti, “AKU STACY” dijangka menjadi antara konsert paling epik di Sabah pada tahun ini.
Buat peminat setia Stacy, inilah masanya untuk merasai kehebatan idolamu secara langsung!