Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – PLANETARIUM Negara (PN) yang menjadi asas kepada pembangunan dan penjanaan ilmu bidang sains angkasa dan Astronomi kini menjangkau usia 30 tahun di samping sebagai eko-pelancongan negara yang menjadi daya tarikan dan tumpuan pelancong.
PN dalam kenyataannya memaklumkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal telah melancarkan Sambutan 30 tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Pusat Sains Negara Kuala Lumpur (PSNKL) pada Isnin.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, TKSU Pembangunan Teknologi MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, TKSU Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI Ruziah Shafei, Pengarah Planetarium Negara Hj. Shahruddin Yusof dan Pengarah Pusat Sains Negara Mohammad Fuad Rahman.
Menurut kenyataan itu, PN telah beroperasi sejak tahun 1994 selaras dengan tujuan membuka lembaran baru dan membawa peranan negara dalam bidang sains angkasa.
Terletak di dalam kawasan hijau Kuala Lumpur yang dikelilingi oleh beberapa mercu tanda iaitu Masjid Negara, Muzium Negara, Muzium Seni Islam, Tugu Negara dan Taman Botani Perdana. Lokasinya berdekatan dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur merupakan hub transit terbesar negara.
Keunggulan saiz, senibina dan teknologi full dome digital system di kompleks planetarium sehingga kini masih kekal relevan dengan peredaran masa kepada negara.
Selain itu katanya, agensi ini telah menjadi agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara kerajaan dengan rakyat dalam bidang astronomi dan sains angkasa.
PN merupakan agensi di bawah MOSTI berfungsi sebagai satu pusat pendidikan sains angkasa tidak formal bagi melaksanakan program pendidikan dan pembudayaan untuk minikitchen minat generasi muda terhadap sains angkasa seterusnya dapat membangunkan kepakaran generasi akan datang khusus dalam bidang ini.
“Sambutan 30 Tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara dapat memberikan matlamat dan kesan yang positif kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para pelajar mengenai penerokaan bidang astronomi, penyelidikan astrofizik dan aplikasi sains angkasa, ”katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, PN ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1989 dan pembinaannya bermula pada 1990 dan siap sepenuhnya serta mula dibuka pada Mei 1993.
Core business kompleks ini menempatkan sebuah teater dengan skrin berbentuk kubah berwarna biru yang dilengkapi dengan projektor bintang dan filem berformat besar.
Kubahnya bersaiz 20 meter diameter dan mampu menempatkan 200 orang dalam satu-satu masa. Binaannya memerlukan ketelitian dan ketepatan yang tinggi serta dilengkapi dengan sistem audio visual yang mampu mensimulasikan pergerakan objek angkasa.
Manakala reka bentuk bangunannya telah dibina dengan reka bentuk berinspirasikan seni bina Islam yang unik bercirikan muqarnas dan diadaptasi dari komposisi geometri yang mampu memantul dan menyerakkan cahaya serta berfungsi sebagai satu elemen penyerapan dan refleksi bunyi yang berkesan.
Seni bina tangganya pula dihiasi dengan 110 anak tangga yang menuju ke arah kubah berwarna biru melambangkan evolusi pembangunan dan penerokaan sains angkasa.
Ia dilengkapi dengan aliran air menuruni bahagian tengah sepanjang anak tangga yang melambangkan kehidupan manusia adalah begitu harmoni dengan angkasa.
Justeru itu, di sebalik keunikan reka bentuk dan kerumitan pembinaannya telah mengalami revolusi dalam sistem penyampaian perkhidmatannya sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai
boleh melayari di portal rasmi PN https://www.planetariumnegara.gov.my/ – SUARA.TV



