Kes berita palsu, 3R meningkat 2 tahun kebelakangan ini – Ketua Polis Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes-kes melibatkan berita tidak benar, berbaur hasutan serta penghinaan terhadap agama, institusi diraja dan kaum (3R) meningkat dalam tempoh dua tahun ini.

Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,396 kertas siasatan dibuka melibatkan berita tidak benar serta mempunyai elemen hasutan di media sosial pada 2022 dan 2023.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 645 kes dibuka pada 2022 manakala 751 kes untuk tahun lalu.

Beliau berkata, analisis pihaknya mendapati daripada jumlah kes yang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 pada 2023 meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 2022, sebanyak 54 kes di bawah dua kesalahan tersebut dibuka dan tahun lalu ia meningkat kepada 122 kes.

“Selain itu, sebanyak 1,220 kertas siasatan dibuka Unit Siasatan Jenayah Terkelas bagi kes-kes menarik perhatian di media sosial,” lapor Utusan pada Selasa.

Selain kes-kes dalam media sosial, Razarudin berkata, kesalahan menghina membabitkan isu 3R meningkat kira-kira 86 peratus dalam tempoh dua tahun tersebut.

Jelas beliau, sebanyak 122 kes dicatatkan pada tahun 2022 dan meningkat kepada 225 kes bagi 2023.

“Daripada 225 kes itu, sebanyak 85 melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja, 55 kes bagi isu berbaur perkauman dan 85 lagi berkaitan agama.

“Dalam tempoh terbabit, seramai 99 orang ditahan iaitu 39 individu pada 2022 manakala 60 lagi diberkas pada tahun lalu.

“Daripada keseluruhan kertas siasatan, sebanyak 21 kes berjaya dituduh membabitkan kesalahan 3R,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak mengeluarkan kenyataan atau hantaran yang berbaur hasutan atau penghinaan di mana-mana medium terutamanya media sosial.

Jelasnya, tiada pihak yang akan terkecuali diambil tindakan sekiranya didapati membuat sebarang kenyataan berbaur fitnah atau hasutan.

“Sekali lagi saya ingatkan fikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau membuat ‘posting’ di medium masing-masing agar ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Pada 18 Julai lalu, media melaporkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat