Zahid Nafi Takut Kes Mahkamah Punca Nak Kembalikan Kerajaan BN

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau berusaha mengembalikan kerajaan UMNO/BN disebabkan kes mahkamah.

Kata Zahid propaganda politik itulah satu-satunya yang masih mereka miliki.

Pengerusi BN itu sebaliknya memberitahu bahawa bukan kerana kes mahkamah, tetapi atas amanah yang diberikan serta demi kesejahteraan dan kemakmuran dikembalikan di bumi bertuah ini.

“Propaganda saya mahu UMNO/BN bekerjasama dengan parti itu sudah berakhir. Begitu juga propaganda menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri terdahulu kerana tamakkan kuasa.

“Biar saya terangkan apa yang saya pernah berulang kali nyatakan sejak awal bahawa sesungguhnya saya bertekad untuk membersihkan nama saya di mahkamah.

“Biarpun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas UMNO/BN tewas PRU-14 angkara fitnah dan pembohongan, beranilah atas nama kebenaran,” kata Zahid.

Tegas Zahid jika beliu dan beberapa lagi pemimpin UMNO tiada ketabahan dan keazaman itu, pasti jauh berbeza keadaan kami ketika ini lebih selesa namun tunduk, layu dan lesu.

Dalam keadaan pimpinan UMNO/BN seperti itu, mampukah UMNO/BN bangkit dalam tempoh yang singkat seperti yang kita saksikan pada waktu ini? soal Zahid.

“Mungkin ini jua ketentuan Ilahi. Asbab untuk perjuangan demi agama, bangsa, tanah air serta kebenaran semakin bersemarak dalam roh dan jasad parti ini.

“Sesungguhnya saya terima dakwaan sedang berusaha mengembalikan kerajaan UMNO/BN kerana itulah tanggungjawab serta fungsi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Tidak sesekali Pengerusi BN dan Presiden UMNO akan membenarkan parti milik rakyat, demi rakyat, untuk rakyat ini hilang jati dirinya.

“Apatah membiarkan ia melukut di tepi gantang tidak berdaya dan tidak berguna, tidak mampu membantu, malah tidak lagi dihirau gara-gara kehilangan kuasa.

“InsyaAllah selagi ada kudrat kurniaan Tuhan, perjuangan untuk kebangkitan mutlak UMNO/BN bersama seluruh pimpinan dan ahli akar umbi akan terus berlaku.

“Sebagai hambaNya kepada Allah S.W.T juga kita memanjatkan doa dan pertolongan selepas segala saya upaya. UMNO/BN kembali sebagai teras pentadbiran negara,” tegas beliau.