KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dituntut segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank tempatan dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian, Genting Hong Kong.

Desakan itu dibangkitkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian merujuk pendedahan terkait tiga bank Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad yang dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.

“Menurut laporan media, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).

“Saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong.

“Ini adalah kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.

“Bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian ini boleh diberi dengan sebegitu mudah? Soal beliau pada Khamis di Facebook.

Anwar berkata, walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia.

Selain itu tegas beliau, Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 billion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.

“Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” ujar Anwar.

Media melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank, dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong — firma korporat Asia yang amat terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Dua bank lain ialah CIMB dan RHB Bank Bhd.

Straits Times Singapura melaporkan ketiga-tiga bank ini merupakan antara beberapa pemiutang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan berjumlah US$600 juta (RM2.5 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketakmampuan bayar, dan ia merupakan satu perkembangan yang mencetuskan kemungkiran silang bagi pelbagai pengaturan pembiayaan keseluruhan syarikat itu bernilai lebih US$2.7 bilion, lapornya.