Fathul Bari cabar Presiden PAS jelaskan dakwaan perebutan jawatan, projek di Perlis

KANGAR, — Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya meminta Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberikan penjelasan secara jelas dan bertanggungjawab berhubung kenyataannya yang mengaitkan perebutan jawatan dan projek sebagai punca kemelut politik di Perlis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Fathul Bari berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Abdul Hadi yang menyebut wujud pihak tertentu mengejar jawatan, menginginkan projek tidak mengikut peraturan serta elemen rasuah dan salah guna kuasa, namun tanpa menamakan individu atau pihak yang dimaksudkan.

Menurutnya, kenyataan bersifat umum sedemikian amat serius dan tidak wajar dibiarkan tanpa penjelasan kerana berpotensi menimbulkan persepsi negatif yang meluas terhadap kepimpinan dan pentadbiran negeri.

“Apabila tuduhan dilemparkan tanpa dinyatakan siapa yang dimaksudkan, ia secara langsung mencemarkan nama baik ADUN-ADUN sedia ada, mengheret penjawat awam negeri ke dalam syak wasangka, menimbulkan kecurigaan terhadap syarikat swasta yang berurusan secara sah dengan kerajaan negeri, serta menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran Perlis,” katanya.

Beliau menegaskan, jika benar wujud sebarang salah laku melibatkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, laporan sewajarnya perlu dibuat kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, bukannya disampaikan melalui kenyataan umum yang tidak disertakan bukti.

“Soalnya mudah dan berprinsip. Siapakah yang dimaksudkan? Jika ada bukti, laporkan kepada pihak berkuasa. Jika tiada bukti kukuh dan tiada keberanian untuk menyatakan secara jelas, maka kenyataan seperti ini tidak wajar dilemparkan ke ruang awam,” tegasnya.

Dr Fathul Bari turut mengingatkan bahawa Perlis sebagai sebuah negeri kecil sangat bergantung kepada kestabilan politik, keharmonian pentadbiran dan keyakinan pelabur, yang boleh terjejas akibat kenyataan berbaur tuduhan tanpa penjelasan.

Menurut beliau, sebarang pelanggaran amanah atau salah laku perlu ditangani melalui saluran undang-undang dan perlembagaan, bukannya melalui naratif politik yang boleh mencetuskan fitnah dan kegelisahan awam.

“Perlis tidak memerlukan politik tuduh-menuduh. Perlis memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab, jelas dan berani mempertahankan kebenaran,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata kemelut politik di Perlis berpunca daripada isu perebutan jawatan dan projek, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin politik negeri itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat