KOTA KINABALU – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei di Balai Polis Sandakan.
Laporan polis berkenaan dibuat Shamsul Iskandar susulan tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
“Di sela-sela kempen Pilihan Raya Umum DUN Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihan raya Sabah.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
“Saya yakin pihak PDRM akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM,” kata beliau.



