Watak dan akhlak orang dipilih berada disekeliling Anwar diragui, penyokong PH kecewa – Rafizi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas dengan menyingkirkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika kontroversi surat sokongan itu timbul minggu lalu, seperti yang diminta olehnya, Perdana Menteri mungkin boleh menjauhkan diri daripada kesan pendedahan ini.

Pada ketika ini, Rafizi berkata beliau tidak nampak cara cepat yang boleh diambil oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan kerosakan terhadap kredibiliti beliau.

“Dalam keadaan yang paling buruk, para pengkritiknya akan menggunakan episod ini terhadap beliau pada masa akan datang setiap kali beliau bercakap tentang usaha untuk memerangi rasuah.

“Manakala dalam keadaan yang terbaik pun, orang ramai mungkin meragui pertimbangan beliau dalam menghakimi watak dan akhlak orang yang dipilih berada di sekelilingnya, memandangkan telah beberapa kali beliau meletakkan kepercayaan kepada individu yang reputasinya dipersoalkan sepanjang kerjaya beliau,” kata bekas Timbalan Presiden PKR itu dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Rabu.

Justeru Ahli Parlimen Pandan itu berharap Anwar tidak memandang rendah gelombang kekecewaan di kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan masyarakat umum akibat episod ini.

“Saya juga tidak mahu bertindak melulu menerima bulat-bulat apa yang didedahkan dalam video tersebut yang mendakwa Datuk Seri Anwar berada di belakang usaha untuk merakam video-video Adun GRS dan Albert Tei dalam urusan rasuah. Setakat ini, semua itu masih kekal sebagai dakwaan dan juga khabar angin.

“Dakwaan tersebut perlu disiasat secara bebas dan segera. Sebenarnya sukar untuk Albert Tei untuk membuktikan dakwaannya melebihi andaian-andaian yang dibuat dalam video itu, melainkan kecuali beliau mempunyai rakaman sendiri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri yang jelas Perdana Menteri memberi arahan sedemikian dan dirakamkan. Selain daripada itu, perkara ini hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

“Oleh itu, saya berharap Datuk Seri Anwar menyaman Albert Tei secepat mungkin dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Jika tidak, kita akan terus mendengar mainan politik yang tidak berkesudahan terutamanya daripada Pas dan PN yang akan mengalih perhatian negara daripada perkara-perkara yang lebih penting. Akhirnya, bola itu berada di kaki Perdana Menteri sendiri,” pesan Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi.

Tegas Rafizi lagi, penting untuk Anwar mengambil tindakan undang-undang dengan segera kerana isu ini akan kekal sebagai situasi he says, she says selagi tiada bukti kukuh dikemukakan di mahkamah.

Hal demikian Rafizi menggesa Perdana Menteri dan bekas Setiausaha Politik Kanannya menyaman Albert Tei juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan secepat mungkin.

Dari segi undang-undang, apa yang didedahkan oleh Albert Tei masih merupakan dakwaan. Lebih baik sekiranya perkara ini diselesaikan melalui proses perundangan yang sewajarnya.

“Shamsul Iskandar sepatutnya mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sivil untuk membersihkan namanya. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menguatkan dakwaan yang dibuat oleh Albert Tei.

“Begitu juga dengan pihak berkuasa, terutamanya SPRM. Perlu bertindak segera untuk menyiasat dan sekiranya ada asas kes mendakwa kedua-duanya atas tuduhan rasuah.

“Dari segi politik, keadaan ini sebenarnya lebih rumit. Tanpa mengira apa yang akan berlaku di mahkamah dan lebih-lebih lagi jika tiada tindakan yang diambil, pendedahan Albert Tei telah memberikan tamparan yang hebat kepada kerajaan dan kredibiliti Anwar Ibrahim,” tegas Rafizi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat