KARAMBUNAI – Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan menganggap pendedahan video membabitkan ‘top gun’ Kerajaan Madani sebagai satu perbuatan hina dan adalah lebih afdal sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen.
Aliakbar yang juga calon Perikatan Nasional (PN) DUN Karambunai tidak menolak dengan terbitnya pendedahan video itu akan menjadi peluru ampuh buat pembangkang di saat genting menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Saya tidak menolaklah (jadi peluru) sebab perasuah ini di antara perkara yang sedang panas di Sabah ditambah pula dengan tampuk tertinggi kerajaan Malaysia.
“Saya yakin di peringkat Perikatan Nasional pun kita akan menjadikannya sebahagian daripada agenda kempen kita saat-saat akhir ni.
“Kita lihat benda ni merupakan satu bukti yang kukuh walaupun belum dijatuhi hukuman, cuma yang terlibat tu adalah top gun dan saya rasa ada kaitan dengan Perdana Menteri, kita tidak boleh nafikan, (bahkan) jumlah pula jumlah yang agak besar… kemudian didedahkan pula bukan setakat diberi tapi diminta. Pada saya ini satu perkara yang sangat hinalah.
“Orang yang besar, orang penting pada satu parti yang besar tetapi seolah-olah meminta-minta… Jadi saya rasa ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau kita nak kata lebih besar lagi sepatutnya Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen, itu yang lebih telus Perdana Menteri di mata rakyat,” katanya ketika ditemui SuaraTV pada Rabu.



