GRS pilihan paling stabil, Hajiji ingatkan pengundi jangan ulang kesilapan lalu

SEPANGGAR — Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai pilihan paling stabil untuk menerajui negeri, dengan gabungan pelbagai parti yang mewakili kepelbagaian kaum dan etnik menjadi asas kepada kestabilan politik yang ditawarkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bercakap dalam siri kempen Rumah Kita, Kita Jaga di DUN Darau, yang turut disertai calon GRS, Mohamed Razali Mohamed Razi, Hajiji menasihatkan pengundi agar membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran, bukan sekadar janji baharu yang muncul ketika pilihan raya.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat parti yang pernah diberi peluang mentadbir namun gagal memenuhi harapan rakyat ketika berkuasa, sekali gus menyebabkan Sabah berdepan risiko kembali ke belakang jika kesilapan sama diulangi.

“Jangan sesekali beri peluang kepada mereka yang pernah jadi kerajaan untuk menjadi kerajaan lagi.
“Rakyat sudah melihat sendiri apa yang berlaku ketika mereka diberi amanah sebelum ini. Banyak perkara tergendala, banyak janji tidak ditepati, dan akhirnya rakyat yang menanggung akibatnya. Kita tidak boleh mengulangi pengalaman itu.

“Pilihan rakyat kali ini akan menentukan sama ada Sabah terus bergerak ke depan atau kembali kepada ketidaktentuan politik dahulu,” tegasnya.

Menurut Hajiji, manifesto GRS menggariskan perancangan pembangunan menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan pembelaan untuk golongan kurang berkemampuan, selaras dengan komitmen gabungan itu untuk membawa Sabah ke arah kemajuan berterusan.

Beliau berkata pentadbiran GRS selama lima tahun telah menunjukkan hasil nyata melalui pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya, pencapaian ekonomi yang lebih baik serta peningkatan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

Dalam pada itu, Hajiji mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk menjadikan tanah kerajaan di sekitar Kota Kinabalu sebagai rizab kampung tersusun bagi penempatan rakyat tempatan yang kini dikategorikan sebagai setinggan.

Keputusan itu telah diluluskan Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, dan tanah berkenaan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk proses pewartaan sebagai perkampungan tempatan.

“Penduduk tidak perlu lagi bimbang dihalau atau dipindahkan. Jabatan Tanah dan Ukur sedang mengenal pasti kawasan sesuai untuk diwartakan sebagai rizab kampung di Darau dan Karambunai,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan GRS merancang menambah projek perumahan rakyat di kawasan terlibat bagi memastikan penduduk menikmati penempatan yang lebih teratur, selesa dan terjamin.

Beliau juga meluahkan keyakinan bahawa sokongan terhadap calon-calon GRS semakin meningkat memasuki pusingan terakhir kempen.

“Semangat dan sokongan rakyat kepada calon-calon GRS semakin meningkat menjelang hari pengundian, jadi saya amat yakin bahawa GRS akan menubuhkan kerajaan selepas 29 haribulan ini,” katanya.

Beliau menegaskan tumpuan utama GRS kini adalah memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan menjelang hari pengundian.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai video tular yang mengaitkan dakwaan sogokan bagi kelulusan lesen perlombongan, Hajiji tidak memberikan jawapan lanjut.

Rakaman enam minit itu menunjukkan seorang wanita yang dikatakan ‘proksi’ kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, membuat beberapa dakwaan, dan video tersebut didedahkan oleh ahli perniagaan Albert Tei.

“Itu diorang punya hal lah,” katanya ringkas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat