KOTA KINABALU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah guna kuasa.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, PN memandang serius dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
“Skandal ini mengejutkan rakyat kerana ia melibatkan individu dalam lingkungan paling rapat dengan Perdana Menteri.
Lebih membimbangkan, bekas Setiausaha Politik “Kanan tersebut serta Perdana Menteri didakwa terlibat dalam satu konspirasi jahat untuk menggunakan kes rasuah lesen mineral yang membabitkan ahli-ahli politik Sabah dari parti GRS demi kepentingan politik peribadi Perdana Menteri.
“Ini dakwaan yang jauh lebih berat daripada tuduhan rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, video pendedahan oleh seorang individu bernama Albert Tei yang tular hari ini menimbulkan beberapa persoalan yang amat meresahkan mengenai integriti Perdana Menteri.
“Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kedudukannya untuk melindungi ahli-ahli politik GRS yang terbabit dalam kes rasuah lesen mineral Sabah sebagai balasan untuk mereka terus menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Madani?
“Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kes rasuah ahli-ahli politik GRS sebagai ugutan terhadap ahli-ahli politik tersebut?
“Perdana Menteri tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan ini,” tegas Muhyiddin.



