KUALA LUMPUR – China buat pertama kali akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di luar negara tembok besar itu dan memilih Malaysia sebagai tuan rumah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam pertemuan dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China Sun Yeli di China International Travel Mart.
“Beliau juga mengumumkan bahawa acara Selamat Tahun Baru Cina yang terkenal, penuh dengan tradisi China, akan diadakan di luar negara buat kali pertama pada 23 Januari, bertepatan dengan “Tahun Baru Kecil.”
“Malaysia telah dipilih sebagai negara tuan rumah, dengan persiapan yang sedang giat dijalankan.
“Pihak China pula telah mula memuktamadkan senarai penghibur yang akan mengambil bahagian dan menggesa Malaysia untuk memberikan sokongan dan memaksimumkan kempen promosi,” katanya dalam perkongsian di media sosial, pada Selasa.
Menurut King Sing, Yeli juga berkata, pertalian budaya yang mendalam antara China dan Malaysia menyerlahkan usaha aktif negara itu untuk mengindustrikan sektor kebudayaan.
Justeru beliau mencadangkan kedua-dua negara meneroka pembangunan bersama dalam bidang ini.
“Melangkah ke hadapan, kita boleh meneroka kerjasama yang lebih mendalam termasuk platform pertukaran budaya untuk pelajar dan mengalu-alukan pelaburan China dengan tujuan meningkatkan tarikan destinasi Malaysia.
“Dengan mengambil inspirasi daripada kemajuan budaya China, Malaysia berhasrat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang,” kata King Sing lagi.
Mengulas lanjut, Malaysia dan China akan bekerjasama sekali lagi tahun ini, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara Malaysia-China, dengan mencalonkan tarian singa untuk pengiktirafan Budaya Tidak Ketara (ICH) UNESCO
Ia susulan kejayaan inskripsi bersama “Majlis Wangkang” dalam senarai warisan ICH UNESCO pada 2020.
King Sing turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu In-Chon secara berasingan.
Korea Selatan dan Malaysia akan menjadi tuan rumah bersama Festival Muzik ASEAN-Korea (Festival ROUND 2025).
“Sementara itu, Korea Selatan pula akan menubuhkan pusat kebudayaa di Kuala Lumpur tahun depan untuk menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan, seterusnya mempromosikan pertukaran budaya.
“Dalam perbincangan ini, saya telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dan mewujudkan platform kerjasama untuk memupuk pertukaran budaya serta kesenian yang lebih mendalam dengan China dan Korea Selatan,” katanya.