PNBBC Sepakat Undi Luluskan Belanjawan 2021 Esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebulat suara menyatakan sokongan padu bagi meluluskan Belanjawan 2021 esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNBBC memaklumkan keputusan itu dibuat secara kolektif kesemua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dengan mengetepikan segala perbezaan, demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi.

“Keutamaan kami adalah menghadapi krisis pandemik COVID-19 demi kesejahteraan rakyat. Kami juga akan memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

PNBBC terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas.

Nasib Rang Undang-undang Perbekalan 2021 sama ada akan diluluskan atau tidak, akan diketahui esok sejurus selepas sembilan baki menteri selesai membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih kerajaan pusat Mac lepas, dengan RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Sementara itu beberapa gabungan NGO Melayu dan Islam hari ini menyerahkan memorandum kepada wakil ahli Dewan Rakyat menuntut mereka menyokong dan seterusnya meluluskan pembentangan Belanjawan 2021.

Antara gabungan NGO itu adalah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).

Pengerusi Biro Politik MPM Shahbudin Embun berkata memorandum itu juga dibuat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat wabak COVID-19.

“Kami mewakili lebih seribu NGO Islam dan Melayu sepakat menuntut kepada seluruh ahli Dewan Rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan memberi sokongan penuh serta meluluskan Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shahbudin berkata memorandum itu telah diserahkan kepada Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul dan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh pada kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat