Perlu ada dialog keras, ‘pedas’

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pengarah Mamat Khalid, 57, mengakui tidak risau untuk memasukkan dialog keras dan ‘pedas’ dalam karya arahannya demi membuka mata penonton berkaitan isu kemasyarakatan yang berlaku.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid berkata, cara penilaian penonton sekarang sudah lain dan dia mahukan mesej yang mengangkat isu berat seperti menyentuh kerajaan diterjemahkan dalam bentuk hiburan.

“Cerita yang saya hasilkan akan lebih banyak menampilkan dialog keras dan lantang mengenai isu kemasyarakatan. Walaupun ‘pedas’, ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

“Sebaliknya, dialog mengenai sesuatu isu itu bertujuan untuk mendidik dan mengajar penonton. Cuma, mesej itu dinikmati mereka dalam pendekatan elemen lawak.

“Sekarang cara penyampaian sebuah karya sudah lain. Bagi saya, menggunakan dialog sebigini membuka mata penonton untuk memberi perhatian lanjut kepada isu berat yang berlaku,” katanya menerusi sebuah temubual dalam talian.

Terbaharu Mamat yang tampil dengan siri berjudul Kampung Pisang Bersiri-Siri mengakui elemen itu juga penting bagi memastikan penonton tidak berganjak. Apatah lagi, dia sendiri sudah terlalu lama tidak mengarahkan drama bersiri.

“Apabila mengarahkan siri, ruang untuk berkarya menjadi lebih banyak. Apa pun, cabaran terbesarnya tentu sekali bagaimana untuk membuatkan penonton akan terus tertarik menanti setiap episod akan datang.

“Jadi, penting buat saya menekankan dari segi dialog yang memberikan kesan selain kekuatan watak itu sendiri. Setiap episod dalam siri terbaru saya ini memiliki keunikan tersendiri untuk tujuan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mamat mendedahkan dia menerima tawaran daripada artis seni lukis bagi mengadaptasi karya filemnya kepada komik. Meski teruja, dia belum bersedia untuk menerima.

“Memang ada yang datang kepada saya menunjukkan hasil lukisan komik filem saya. Diakui sangat seronok melihat hasil kerja ditunjukkan mereka yang sememangnya sangat bagus.

“Bagaimanapun, untuk merealisasikannya kena benar-benar ada syarikat percetakan yang dipercayai bagi mengendalikannya. Saya harap akan ada syarikat percetakan yang serius untuk tampil berbuat demikian,” katanya.

Kampung Pisang Bersiri-Siri menampilkan pelakon Aziz M. Osman, Mat London, Bell Ngasri, Kazar Sairi, Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Imuda, dan ramai lagi. Ia adalah projek premium sulung Astro Originals dan mula ditayangkan 7 Disember, jam 9 malam menerusi Astro Citra.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat