COVID-19: SOP Baharu Pengembara Sabah Didorong Penurunan Kes – KP Kesihatan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kadar penurunan kes positif COVID-19 yang konsisten dicatatkan di Sabah merupakan antara faktor yang dipertimbangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengembara dari negeri itu masuk ke negeri lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu juga mengambil kira tindakan kesihatan awam ke atas Sabah harus diambil selari seperti negeri lain.

“Kes (di Sabah) semakin berkurangan dari tempoh 22 Sept sehingga 25 Nov, kes kemuncak dicatatkan pada awal Oktober, (sekarang) kes semakin berkurangan.

“Kes juga semakin stabil iaitu kurang daripada 300 kes sejak kebelakangan ini. Jadi ini merupakan perkembangan positif dan inilah sebab kenapa kita bermesyuarat dan mengambil tindakan ‘stand down’ (memberi kelonggaran) untuk kes negatif, tiada gejala dan tidak terdedah kepada kontak positif,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Beliau berkata 93 peratus pesakit COVID-19 dari Sabah dikesan mendapat jangkitan itu pada hari pertama ujian calitan dijalankan dan enam peratus pula dikesan positif pada ujian calitan kedua selepas ujian calitan pertama menunjukkan keputusan negatif.

“Jadi sekarang kita melihat kepada keperluan untuk mengkuarantin mereka yang negatif ujian calitan (sedangkan) negeri-negeri lain di Semenanjung yang berstatus Zon Merah tidak mengguna pakai konsep yang sama.

“Kalau kita lihat kembali di Semenanjung, Selangor dan Negeri Sembilan lebih tinggi, kita tak saring pun mereka dari dua negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, bermula 11 Okt lepas kerajaan mewajibkan semua pengembara yang tiba dari Sabah melalui prosedur sedia ada selain diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa mengumumkan semua individu yang tiba dari Sabah perlu menjalani saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain berkuat kuasa semalam.

Dr Noor Hisham berkata bagaimanapun individu dari Sabah yang tidak membuat ujian saringan tiga hari sebelum terbang akan disaring ketika tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM bersedia untuk mempertimbangkan permohonan individu yang ingin memendekkan tempoh kuarantin atas sebab-sebab tertentu, namun perlu menjalani ujian saringan kedua sebelum diberi kebenaran.

“Mereka ada yang mohon untuk pendekkan tempoh kuarantin, kita ada pertimbangan untuk mengguna Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Seksyen 15 (1) iaitu seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-manatempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Secara umum 14 hari kita kuarantinkan, kalau ada permohonan, Jawatankuasa Khas KKM akan membuat penilaian risiko sebelum mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh kuarantin,” katanya.
– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,587FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat