Anwar Seru ASEAN Kekal Teguh di Tengah Dunia yang Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa ASEAN untuk memperbaharui tekad dan kesatuan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin tidak menentu, dengan menegaskan bahawa kekuatan sebenar rantau ini bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada kepercayaan terhadap dialog dan saling hormat antara negara anggota.

Berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Anwar menegaskan bahawa kepimpinan ASEAN 2025 bukan sekadar satu rutin, tetapi satu tanggungjawab untuk “mentakrif semula keutamaan dan memperbaharui makna perpaduan rantau ini”.

“Dunia kini berhadapan ketidaktentuan tatanan lama sudah goyah, sementara yang baharu belum terbentuk. Namun ASEAN terus bertahan kerana keyakinan bahawa hormat dan rasional masih mengikat kita bersama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penandatanganan Perjanjian Damai Kemboja–Thailand yang dijadual berlangsung pagi ini di Kuala Lumpur sebagai bukti bahawa keberanian memilih perdamaian mampu membentuk semula masa depan negara-negara yang pernah berkonflik.

Timor-Leste Sertai ASEAN Secara Rasmi

Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang disifatkan sebagai melengkapkan “keluarga besar ASEAN” serta mengukuhkan makna sebenar Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Dalam komuniti ini, pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan mendapat sokongan kukuh serta berkekalan,” ujar beliau.

ASEAN Didorong Untuk Kekal Relevan dan Responsif

Sebagai pengerusi tahun ini, Malaysia menumpukan usaha menyusun semula keutamaan ASEAN agar kekal resilien, relevan dan responsif terhadap cabaran semasa.
Anwar menjelaskan bahawa ASEAN terus komited mencari penyelesaian aman terhadap krisis Myanmar berpandukan Konsensus Lima Perkara, dengan menegaskan bahawa keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui pendekatan “Myanmar-owned dan Myanmar-led”.

Dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif baharu yang akan diperkenalkan pada sidang kali ini, termasuk:

  • Naiktaraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) bagi mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar dan berdaya saing;
  • Kemudahan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG Financing Facility) untuk mempercepat peralihan tenaga bersih dan selamat;
  • Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN dan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau sebagai asas kepada pertumbuhan hijau;
  • serta Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE) untuk memastikan teknologi kecerdasan buatan berkembang secara beretika dan terkawal.

“Kita mahu teknologi menjadi hamba, bukan tuan kepada manusia,” tegas Anwar.

Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia tahun ini menganjurkan Sidang ASEAN–GCC dan ASEAN–GCC–China, sebagai usaha memperluas jaringan strategik rantau ini.

Esok pula akan berlangsung Sidang Kemuncak RCEP ke-5, yang akan memperkukuh peranan ASEAN dalam zon perdagangan bebas terbesar dunia. Turut hadir sebagai tetamu pengerusi bagi Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 ialah Brazil dan Afrika Selatan, menandakan langkah ASEAN untuk memperkukuh hubungan dengan blok BRICS dan G20, sekali gus mengukuhkan jambatan diplomatik ke Global South.

Masa Depan ASEAN Akan Ditentukan Oleh Pilihan Kita*

Menutup ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa masa depan ASEAN tidak akan ditentukan oleh keadaan semasa, tetapi oleh pilihan yang dibuat oleh para pemimpin hari ini.

Masa depan ASEAN tidak akan ditulis oleh keadaan, tetapi oleh pilihan pilihan yang kita buat hari ini,” kata Anwar sebelum mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dibuka secara rasmi. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat