PUTRAJAYA, – Malaysia memulakan langkah nyata mengalu-alukan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dengan membuka akses perkhidmatan perayauan data 4G antarabangsa pada kadar berpatutan di negara tersebut.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bermula 17 Oktober lalu, pengendali utama Malaysia iaitu CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di Timor-Leste, manakala YTL Communications menyusul pada 24 Oktober 2025.
Langkah ini memastikan rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste menikmati sambungan internet mudah alih yang lancar dan stabil, seiring kemudahan yang ditawarkan di negara-negara ASEAN lain. Ia juga menandakan kemajuan besar daripada infrastruktur 2G dan 3G yang digunakan sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, kejayaan tersebut direalisasikan hasil kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste, disokong oleh perkongsian strategik antara pengendali Malaysia dengan syarikat telekomunikasi utama negara itu Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.
Pencapaian ini turut sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang menumpukan kepada keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital. Ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam membina komuniti berfokuskan rakyat, di mana teknologi memperkukuh mobiliti, peluang dan perpaduan di rantau ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia kekal komited menyokong integrasi digital dan memperkukuh keterhubungan merentas sempadan, selaras dengan tema membentuk masa depan digital bersama untuk semua rakyat ASEAN.-Suara.TV



