PAS Tolak Jajaran Baru Diusahakan Bersatu Jika Libatkan DAP – Hashim

- Advertisement -

ARAU – Pas menolak jajaran politik baharu yang bakal diusahakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika gabungan besar itu melibatkan DAP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sentiasa terbuka menerima jajaran yang boleh menguntungkan Islam, namun jika sebaliknya parti itu akan menentang sekeras-kerasnya.

Katanya, beliau percaya kepemimpinan Pas akan membuat keputusan sebaik-baiknya dalam soal jajaran baharu politik itu.

“Kita tentang jajaran politik baharu yang perlu bekerjasama dengan DAP manakala kerjasama dengan parti-parti lain, Pas masih terbuka berbincang mengenainya.

“Pada 12 Jun ini, insya-Allah kita akan ada perjumpaan pimpinan pusat dan negeri dan kita mungkin akan berbincang soal tersebut (jajaran baharu). Apa yang jelas kita tolak kerjasama yang ada kait dengan DAP,” katanya.

Baru-baru ini, Bersatu memberikan mandat kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengadakan rundingan dan perbincangan dengan semua gabungan serta parti ke arah mewujudkan satu jajaran politik baharu menjelang PRU15.

Memetik laporan sebuah media tempatan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu penting bagi Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk pakatan yang boleh menewaskan Barisan Nasional (BN).

Selain itu kata Wan Saiful, PN dan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa jika mereka tidak bersatu, BN akan mendapat manfaat.

“Biarpun belum ada kata sepakat namun semua parti sama ada dalam PN dan PH masih terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai pembentukan jajaran baharu politik menjelang PRU15,” kata Wan Saiful.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Muhyiddin dikatakan mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung mewujudkan gabungan politik menjelang PRU.

Perbincangan tersebut diadakan dalam situasi Bersatu dan PN masih menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, yang merupakan pemimpin daripada BN.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas masih memegang teguh kepada perjanjian di dalam piagam Muafakat Nasional (MN) dan jika UMNO masih berkeras mahu memutuskan hubungan, terpulang kepada mereka.

“Kita tidak mahu menjadi punca kepada perpecahan dan Pas akan terus memperjuangkan perpaduan ummah ini,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat