Semua negeri pembangkang tolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025

KUALA LUMPUR – Negeri-negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) secara bersesama dengan tegas menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen pada 27 Ogos 2025.

Menurut kenyataan Pejabat Sekretariat SG4 yang ditandatangani Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menegaskan, RUU ini yang jika diluluskan akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, dijangka akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.

Katanya lagi, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.

“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah
Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.

“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya.

“Pelaksanaan URA juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera,” kata kenyataan itu.

Tambahan pula ujarnya, URA tidak memperincikan mekanisma pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama Bumiputera di bandar-bandar.

Justeru, negeri-negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar sekali gus
menjejaskan keharmonian negara.

“Bahawa diyakini undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang perlu dan wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya
bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan terhadap URA.

“Negeri-negeri SG4 dengan ini menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 (Urban Renewal Act),” sepakat mereka.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat