KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menuntut penjelasan menyeluruh daripada Kementerian Kewangan (MOF) bukan sekadar dari segi teknikal pelaksanaan tetapi dari segi prinsip keadilan sosial dan keterbukaan dasar.
Tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, jika penyasaran subsidi ingin dilaksanakan, maka ketelusan mekanisme dan ketepatan data adalah syarat mutlak, bukan pilihan.
“Apa cerita subsidi petrol RON95? Apa pula perincian berkenaan T15? Mungkin ramai yang tertanya-tanya, bagaimana pelaksanaannya nanti? Di stesen pam minyak kena pakai MyKad ke? Atau ada kad lain?
“Dalam Kamar Khas di Parlimen semalam, saya ada membangkitkan perkara ini. Rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini kini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat, khususnya apabila kerajaan mengumumkan satu kategori baharu dikenali sebagai T15 yang dikatakan tidak lagi layak menerima subsidi.
“Namun, sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung definisi kategori T15, kaedah pengklasifikasian atau mekanisme pengesahan dan rayuan bagi rakyat yang terkesan,” ujar Ka Siong.
Persoalannya kata beliau, apakah indikator dan asas penentuan yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam T15?
“Adakah ia berdasarkan pendapatan kasar, pendapatan boleh belanja, lokasi tempat tinggal, jenis kenderaan atau sumber data lain yang tidak dikemas kini?
“Jika tiada ketelusan, ramai pengguna berisiko disalah klasifikasi, termasuk keluarga M40 bandar yang terpaksa berbelanja besar untuk pengangkutan harian tetapi tidak dianggap layak menerima subsidi.
“Kita tidak boleh membiarkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini berlaku dalam keadaan rakyat tidak tahu status kelayakan mereka dan tiada ruang untuk semakan atau rayuan.
“Ketiadaan takrifan yang jelas dan saluran komunikasi yang telus akan menjejaskan keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap mekanisme subsidi, tetapi juga terhadap dasar penyasaran kerajaan secara keseluruhan.
“Apakah bentuk notifikasi, saluran pengesahan dan sistem rayuan yang akan diwujudkan untuk melindungi hak rakyat. Saya mohon agar pihak kementerian memberikan penjelasan yang menyeluruh, bukan sekadar dari segi teknikal pelaksanaan tetapi dari segi prinsip keadilan sosial dan keterbukaan dasar.
“Jika penyasaran subsidi ingin dilaksanakan, maka ketelusan mekanisme dan ketepatan data adalah syarat mutlak, bukan pilihan,” katanya.



