Barcelona Sahkan Messi Mahu Tinggalkan Kelab Itu

- Advertisement -

BARCA: Lionel Messi telah memaklumkan Barcelona bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu setelah hampir dua dekad bersama gergasi Sepanyol tersebut.

Kelab itu mengesahkan semalam bahawa pemain Argentina itu telah menghantar dokumen yang menyatakan hasratnya untuk mengaktifkan klausa penamatan yang akan mengakhiri kontraknya dan membenarkannya meninggalkan kelab itu secara percuma musim panas ini.

Barcelona telah menerima dokumen itu secara bertulis melalui faks dari peguamnya. Mereka belum menjawab secara rasmi tetapi difahamkan sedang menguruskannya.

Barcelona tidak bersetuju klausa itu masih aktif. Ia dikatakan telah tamat pada 10 Jun, 10 hari selepas tarikh asal pertandingan akhir Liga Juara-Juara pada 30 Mei.

Tetapi peguam Messi berpendapat bahawa – atas semangat kesepakatan dan niat yang baik – klausa itu masih aktif setelah pertandingan akhir yang dijadualkan semula kepada 23 Ogos, berikutan ia ditangguhkan kerana wabak koronavirus.

Pengumuman itu dibuat 11 hari selepas kekalahan memalukan Barcelona 8-2 kepada Bayern Munich di suku akhir Liga Juara-Juara, salah satu kekalahan terburuk dalam karier pemain dan dalam sejarah kelab.

Kekalahan itu melengkapkan musim sukar bagi Barcelona – yang pertama kali mengakhiri musim tanpa sebarang piala sejak 2007-08 – dan merupakan salah satu krisis terburuk yang pernah berlaku kepada kelab itu.

Sepanjang bermain di Barcelona, Messi telah memenangi enam anugerah Ballon d’Or sebagai pemain terbaik di dunia, dan telah membantu kelab itu memenangi 10 gelaran liga Sepanyol dan empat Liga Juara-Juara.

Bekas kapten Barcelona Carles Puyol dalam tweetnyaa terhadap berita berkenaan, menulis: “Hormat dan kagum, Leo. Sokongan saya terhadap anda, kawan.”

Minggu lalu, ketua jurulatih baru Barcelona, ​​Ronald Koeman mengatakan bahawa dia mahu Messi kekal di kelab.

Koeman berkata: “Saya tidak tahu apakah saya harus meyakinkan Messi (untuk kekal). Sudah tentu dia adalah pemain terbaik di dunia dan anda mahukan pemain terbaik di dunia dalam pasukan anda – anda tidak mahu dia bermain menentang anda.

“Bagi saya sebagai jurulatih, saya suka bekerjasama dengan Messi kerana dia memenangi perlawanan. Sekiranya dia berada pada kemampuan dan tahap yang selalu ditunjukkannya, saya akan lebih senang dia kekal.

“Dia masih mendapat kontrak dan dia masih pemain Barcelona. Ada beberapa pemain yang lebih tua dalam pasukan dan kami perlu membuat beberapa keputusan tetapi dalam kes Messi, saya harap dia tetap bersama kami.” – Sky Sport

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat