RANAU: Bekas Naib Presiden UPKO YB Datuk Abidin Madingkir mengetuai lebih seribu ahli-ahli UPKO di Paginatan dan Kundasang menyertai StarSabah.
Beliau telah meninggalkan parti lamanya apabila memberikan sokongan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bulan Julai yang lalu.
Presiden StarSabah, Yb Datuk Dr Jeffrey G Kitingan sendiri telah hadir mengalu-alukan penyertaan Wakil Rakyat Paginatan itu dan menerima borang keahlian baru. Majlis diadakan di Kg. Lohan dan dihadiri sekitar 200 ahli-ahli baru dan juga pemimpin StarSabah peringkat akar umbi dan Negeri.
Terdahulu, Abidin bersama 32 Adun lain memberi sokongan kepada Tan Sri Musa Aman untuk mengambil kerajaan negeri daripada Warisan.
Pada PRU 14 lepas, YB Datuk Abidin Madingkir yang mewakili (BN) memenangi kerusi N31 Paginatan dengan memperolehi 5,666 undi mengalahkan Julia@Paul Sidin (Warisan) 3,600 undi, Pedderin @ Feddrin Tuliang @ Tuling (Sabah STAR) 1,870 undi, Satiol Indong (PCS) 362 undi dan Mat Jaili Samat (PPRS) 104 undi dengan majoriti 2,066 undi.
Selepas PRU 14, beliau meninggalkan ‘kerajaan negeri’ pimpinan Tan Sri Musa Aman dan mengikut Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau menyokong Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.