KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Sabah untuk memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN-17) nanti sekiranya mahu menamatkan krisis bekalan air dan elektrik di negeri itu.
Dengan membawa tema pentadbiran Sabah untuk anak Sabah, Zahid menegaskan hanya BN mampu menyelesaikan masalah air dan api yang membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama.
“Siapakah yang mentadbir negeri Sabah ini? Siapakah yang menjadi Ketua Menteri dan menteri-menteri serta timbalan menteri atau pembantu menteri di Sabah? Adakah orang Semenanjung yang jadi Ketua Menteri atau timbalan ketua menteri atau menteri-menteri…tidak ada seorang pun Semenanjung yang jadi itu semua.
“Kita yakin anak-anak Sabah boleh mentadbir Negeri Sabah. Tadi kami makan tengah hari sedang makan lampu terpadam, tadi mahu ambil air sembahyang semasa mengambil air sembahyang air paip terputus.
“Bila api dengan air tidak ada, inilah tuntutan rakyat Sabah keseluruhannya. Oleh itu, azam tekad Umno dan BN Sabah Insya-Allah kalau sekali ini, pada kali ini kalau ada pilihan raya negeri yang ke-17 tekad dan azam sebagaimana disebut oleh Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin bahawa kita akan selesaikan masalah api dan air ini.
“Insya-allah dalam satu penggal pemerintahan dan pentadbiran ..ini boleh dilakukan, saya tidak menyentuh mana-mana pihak sama ada masih hidup atau mati,” kata Zahid.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu lagi, isu dan masalah kekurangan di Sabah hanya dapat diselesaikan melalui perkongsian kuasa.
“Tetapi di dalam perkara ini kita tahu bahawa apabila perkongsian kuasa dapat dilakukan.
“Maka anak-anak negeri Sabah dapat mentadbir negeri Sabah saya yakin dua masalah utama ini boleh diselesaikan. …Yang boleh menyelesaikan ini hanyalah BN,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.
Jelas Zahid, BN wujud di bumi Sabah untuk perkongsian kuasa.
“Kita tidak mahu hanya di Semenanjung keamanan dapat diwujudkan, hanya di Sarawak keamanan dapat diwujudkan.
“Kita juga mahu kestabilan politik dengan perkongsian kuasa ini dapat juga diwujudkan di Sabah,” tegas Zahid.