Penerima Rumah PPR Rantau Bakal Terima Kunci Menjelang Akhir Tahun – Mohamad Hasan

- Advertisement -

SEREMBAN – Penantian penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Baiduri, Rantau di sini untuk menerima kunci rumah mereka bakal berakhir selepas isu membabitkan projek yang telah siap pada tahun 2019 itu berjaya diselesaikan.

Ia selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun lalu telah bersetuju bahawa projek berkenaan akan ditawarkan kepada pembeli melalui kaedah sewa beli (rent to own) dan bukan hanya untuk disewa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada beliau baru-baru ini.

“Projek PPR Rantau ini telah lama siap pada 2019 dan telah dibuat pengundian kepada mereka yang memohon namun penerimanya masih tidak diberi kunci. Sudah lama tersangkut dan projek ini menerusi dasar baharu nak buat sewaan sahaja.

“Kerajaan negeri kata begini, pihak kementerian kata begini dan terdapat percangahan dan perbalahan. Ketika tiada persetujuan di antara kedua belah pihak, saya mencelah dan mengatakan bahawa asas untuk membina PPR ini adalah untuk sewa dan beli.

“Akhirnya Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 22 Jun lalu telah putuskan bahawa konsep yang dicadangkan bahawa sewa dan beli telah diluluskan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas beliau bertemu dengan para pembeli projek perumahan tersebut di Rantau di sini hari ini.

Projek Taman Baiduri, PPR Rantau dibina sebanyak 100 unit rumah di atas tanah kerajaan negeri dengan keluasan enam hektar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, pusat komuniti, tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan gerai.

Pembangunan taman perumahan tersebut adalah kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di mana kerajaan negeri menyediakan tanah sementara pembangunan projek dilaksanakan oleh KPKT.

Harga seunit rumah PPR Rantau ini, dijual dengan kadar RM35,000, berbanding harga sebenarnya RM150,000 dengan kerajaan telah memberi subsidi lebih RM100,000 bagi setiap unit.

Sementara itu, Mohamad berkata, keputusan jemaah menteri tersebut sekali gus menyaksikan projek berkenaan tidak akan dijual kepada kerajaan negeri seperti terdapat cadangan mengenainya sebagai langkah penyelesaian isu berkenaan.

“Kerajan negeri juga tidak sepatutnya membeli, isu tersebut telah dapat diselesaikan dan ia akan terus diuruskan kerajaan melalui KPKT. Konsep menyewa sahaja dapat kita batalkan dan ditukar semula kepada kaedah sewa beli,” jelasnya.

Beliau berkata, pembeli-pembeli projek PPR Taman Baiduri Rantau tersebut dijangka akan menerima kunci rumah masing-masing sebelum berakhir tahun ini dan mereka boleh memasuki rumah pada awal tahun hadapan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat