KUALA LUMPUR, – Malaysia dan Indonesia kini selangkah lebih dekat untuk merealisasikan aspirasi menjadikan ASEAN sebagai hab halal global melalui penubuhan Majlis Halal ASEAN.
Perkara itu dimuktamadkan menerusi pertemuan strategik antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Bapak Haikal Hassan Baras, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu merupakan lanjutan daripada lawatan rasminya ke Indonesia baru-baru ini, yang menjadi titik permulaan kepada kerjasama baharu dalam memperkukuh pembangunan industri halal serantau.
“Malaysia dan Indonesia menzahirkan komitmen padu untuk melonjakkan kerjasama halal ke tahap lebih tinggi. Penubuhan Majlis Halal ASEAN tahun ini akan menjadi platform penyelarasan dasar, standard dan piawaian halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif,” jelas beliau.
Tambahnya, inisiatif ini penting bagi memastikan ASEAN muncul sebagai peneraju dalam ekosistem halal global yang berdaya saing dan diiktiraf dunia.
Perluasan perdagangan halal serantau
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua negara juga bersetuju memperluas laluan kemasukan produk halal dan memperkukuh pengiktirafan bersama sijil halal masing-masing.
Langkah ini dilihat sebagai pemangkin kepada aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri, sekali gus menyokong pertumbuhan perdagangan intra-ASEAN – rantau yang mempunyai lebih 700 juta penduduk.
Ahmad Zahid turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi MPIH untuk mempergiat usaha kerjasama dalam aspek pensijilan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja halal.
“Malaysia menyokong penuh pelaksanaan program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif untuk memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN.”
Model kepimpinan halal global
Dengan nilai pasaran halal global dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, Ahmad Zahid berkata ASEAN mesti memainkan peranan penting sebagai ekosistem halal serantau yang saling melengkapi, mampan dan berdaya saing.
“Majlis Halal ASEAN akan menjadi simbol kepada kepimpinan rantau ini dalam industri halal dunia, bukan sahaja dari segi pengeluaran produk, tetapi juga dari sudut integriti dan piawaian yang tinggi.”
Inisiatif bersama ini juga mencerminkan kejayaan diplomasi halal yang diperkenalkan Malaysia, dalam mengukuhkan kedudukan jenama halal negara di peringkat antarabangsa.-Suara.TV