PKPB: Tindakan Tatatertib Menanti Penjawat Awam Rentas Negeri Balik Kampung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib jika tidak kembali bekerja selepas Aidilfitri kerana terperangkap di kampung, akibat melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, menjelaskan jabatan masing-masing boleh mengenakan tindakan tatatertib pada penjawat awam yang tidak hadir ke pejabat tanpa mengemukakan surat cuti.

“Sekiranya pegawai tidak boleh hadir bertugas, sama ada di pejabat atau bekerja di rumah (BDR), dia dianggap tidak hadir bertugas dan ada diperuntukkan hukuman tertentu dalam Perintah Am Bab D (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993).

“Dalam Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Mac, pegawai mesti bekerja di pejabat atau dibenarkan BDR mengikut arahan Ketua Jabatan.

“Pegawai BDR boleh diarahkan untuk hadir di pejabat pada bila-bila masa namun jika tidak hadir tanpa mengemukakan surat cuti, boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap penjawat awam yang tidak dapat kembali bekerja kerana melanggar PKPB untuk pulang berhari raya di kampung.

Mohd Khairul Adib menegaskan, tindakan penjawat awam melanggar PKPB itu sendiri adalah menjadi kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 ) dan mereka juga boleh dikenakan tindakan tatatertib jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Kesalahan di bawah Akta 342 adalah kesalahan jenayah. Ada peruntukan di bawah Perintah Am yang memperuntukkan hukuman tertentu bergantung kepada dapatan dan hukuman mahkamah,” katanya.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat