SHAH ALAM,– Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang cerah untuk menawan Selangor sekiranya seluruh jentera parti bekerja keras, bergerak secara tersusun dan mampu meyakinkan rakyat.
Berucap pada Konvensyen Bersatu Selangor, Muhyiddin berkata kemenangan PN di Selangor bukan lagi sesuatu yang mustahil kerana gabungan itu hanya memerlukan tujuh kerusi tambahan bagi membentuk kerajaan negeri.
Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan sokongan rakyat terhadap PN semakin kukuh apabila gabungan itu berjaya memenangi 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala beberapa kerusi yang tewas pula mencatat perbezaan undi yang kecil.
“Dalam PRN lalu, kita menang 22 kerusi DUN. Kita hanya perlukan tujuh lagi kerusi untuk bentuk kerajaan.
“Perbezaan undi di kerusi kalah juga kecil. Maknanya, kemenangan itu sangat dekat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata strategi parti selepas ini perlu jelas, iaitu mempertahankan semua kerusi sedia ada, memberi tumpuan kepada kerusi marginal dan menggunakan pendekatan bersasar berasaskan data pengundi.
Beliau berkata jentera parti tidak boleh lagi bekerja secara biasa, sebaliknya perlu mengenal pasti saluran pengundi, kaum, umur serta kecenderungan politik di setiap kawasan.
“Data sudah ada. Soalnya, kita guna atau tidak?
“Bila balik ke kawasan, aktifkan semua cawangan. Pastikan setiap peringkat ada kepimpinan,” katanya.
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyifatkan Selangor sebagai antara negeri paling penting di Malaysia kerana sumbangannya yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun beliau berkata kemajuan ekonomi Selangor tidak boleh menutup realiti bahawa rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan jurang sosial yang semakin melebar.
“Walaupun Selangor negeri maju, rakyat tetap berdepan kesukaran hidup,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Bersatu dan PN supaya tidak berpecah kerana sebarang perbalahan dalaman hanya akan melemahkan parti serta menjejaskan keyakinan rakyat.
Katanya, Bersatu kini mempunyai lebih 60 Ahli Dewan Undangan Negeri dan lebih 30 Ahli Parlimen, satu pencapaian besar bagi sebuah parti yang berusia kurang 10 tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata pencapaian itu tidak mencukupi sekiranya persepsi rakyat terhadap parti tidak diurus dengan baik.
“Dalam politik, persepsi rakyat lebih penting. Bukan apa kita fikir tentang diri kita, tetapi apa rakyat fikir tentang kita,” katanya.
Muhyiddin turut mendakwa kerajaan hari ini gagal menangani isu rakyat apabila kos sara hidup meningkat, subsidi dikurangkan, harga barang naik dan tekanan ekonomi terus dirasai rakyat.
Menurut beliau, golongan B40 semakin membesar dan ramai rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19.
Justeru, katanya, rakyat kini melihat PN sebagai alternatif dan “kerajaan menunggu”, namun gabungan itu perlu membuktikan kesediaan melalui manifesto yang realistik, kepimpinan tersusun dan kemampuan meyakinkan pengundi.
“Saya tegaskan, kita mesti menang Selangor.
“Bukan dengan cara salah, tetapi melalui kerja keras, strategi tepat dan perpaduan kukuh.
“Ini mungkin peluang terakhir. Kalau kita gagal kali ini, kebangkitan semula akan jauh lebih sukar,” katanya.
Beliau turut berharap resolusi yang dibentangkan dalam konvensyen itu tidak sekadar menjadi dokumen, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan konkrit untuk menjawab masalah rakyat.
Turut hadir dalam konvensyen itu ialah Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor merangkap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – SuaraTV



