SHAH ALAM – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ampang, Nor Hizwan Ahmad menegaskan bahawa kekuatan perpaduan, kejelasan agenda ekonomi serta pengukuhan jentera parti menjadi asas penting dalam menghadapi pilihan raya di Selangor.
Dalam perbahasan beliau di konvensyen parti, Nor Hizwan berkata tiga perkara utama perlu difahami dan digerakkan secara menyeluruh oleh seluruh ahli di peringkat akar umbi.
“Pertama soal perpaduan, kedua ekonomi negeri Selangor dan ketiga jati diri kita sebagai ahli serta penggerak parti. Jika kita jelas dengan tiga perkara ini, insyaAllah tiada masalah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Bersatu sebagai government in waiting di Selangor, berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu yang menyaksikan kemenangan besar di kawasan majoriti Bumiputera.
“Dalam pilihan raya lepas, kita menang 22 kerusi DUN dan hampir keseluruhan kawasan majoriti Bumiputera. Yang tinggal hanya beberapa kerusi sahaja,” ujarnya.
Namun, beliau menegaskan pendekatan parti perlu lebih inklusif dengan menolak sebarang persepsi ekstremisme.
“Kita parti berteraskan Bumiputera, tetapi kita bukan ekstremis. Kita bukan ekstrem Melayu. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menindas atau membiarkan kaum lain dihina,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Nor Hizwan turut menyeru ahli parti memperkukuh hubungan dengan masyarakat bukan Melayu melalui pendekatan dialog dan turun padang.
“Kita perlu dekati masyarakat Cina dan India, fahami budaya mereka dan bina rasa hormat. Kalau boleh, belajar sedikit bahasa mereka dan sentiasa turun padang,” katanya.
Mengulas isu ekonomi, beliau menegaskan bahawa angka dan pengumuman yang dibuat kerajaan negeri tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar rakyat di lapangan.
“Angka nampak cantik di atas kertas, tetapi tidak sampai ke bawah. Rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup isi minyak, hantar anak ke sekolah, beli keperluan asas, semuanya perlu difikirkan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan jurang antara data ekonomi dan realiti kehidupan rakyat masih ketara.
Mengakhiri perbahasan, beliau menggesa seluruh jentera parti untuk mempergiat gerak kerja di semua kawasan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
“Kita mesti turun padang, dari Sepang ke Sabak Bernam, dari utara ke selatan. Kita mesti kerja kuat dan kuatkan jentera,” katanya.-SuaraTV



