Kecam Hantaran Hina Institusi Diraja, Exco Selangor Seru Tindakan Tegas

SHAH ALAM – Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Rizam Ismail mengecam sekeras-kerasnya penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Selangor yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

Beliau menegaskan, sebarang bentuk provokasi atau cubaan mengaitkan institusi diraja dengan perkara tidak wajar tidak sepatutnya diberi ruang dalam masyarakat majmuk seperti di Selangor.

“Negeri Selangor yang kita cintai ini dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama. Kekuatan kita selama ini terletak pada sikap saling menghormati, toleransi serta semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, institusi diraja merupakan payung negeri, lambang perpaduan dan tunjang kestabilan yang perlu dipelihara oleh semua pihak daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan nama baiknya.

Dalam masa sama, Rizam turut menyeru rakyat supaya lebih matang dan berhemah ketika menggunakan media sosial, serta tidak mudah terpengaruh dengan kandungan tidak sahih atau bersifat provokatif.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa agar bertindak segera dan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan, bagi memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.

Kenyataan itu turut dizahirkan dengan penuh takzim kepada Sultan Selangor, sambil mendoakan agar negeri dan rakyat Selangor sentiasa berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian demi masa depan negeri yang lebih baik,” katanya.- SuaraTV

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat