KUALA LUMPUR- Kepimpinan Kerajaan Perpaduan diberi peringatan terhadap dosa yang perlu dijawab di akhirat kelak kerana menghalang peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat menerusi Ahli Parlimen masing-masing.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, menegaskan bahawa peruntukan Ahli Parlimen yang belum disalurkan kepada wakil pembangkang hingga kini adalah milik rakyat dan bukan hak mutlak Perdana Menteri.
Peruntukan terbabit katanya, sudah diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul isu surat permohonan atau surat tawaran oleh Perikatan Nasional (PN).
“Beginilah, wang itu mereka nak bagi, bagi! Kalau tak bagi pun, bukan duit mereka, itu wang rakyat.
“Kerajaan kini sengaja melengah-lengahkan wang milik rakyat yang akan digunakan untuk membantu rakyat (menerusi Ahli Parlimen masing-masing), jika mati esok, mereka jawablah di akhirat kelak,” katanya lapor BH.
Shahidan menegaskan tidak perlu surat tawaran atau permohonan kerana peruntukan sudah diluluskan.
Tambah beliau lagi, perkara ini tidak akan berlaku jika PN memerintah negara kerana wang rakyat adalah untuk digunakan untuk rakyat.
“PN takkan buat kerja macam ni, hak orang serahkan cepat, bukan menyusah dan melengah-lengahkan tak ketahuan, PN tak begitu, kami tak buat kerja macam ni,” tegasnya.
Shahidan berkata, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Mereka sudah berjumpa, bila saya tak pasti saya cuma melihat gambar pertemuan mereka di aplikasi WhatsApp kami,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui tidak mengetahui perkembangan mengenai agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Saya tiada maklumat, kena tanya Datuk Seri Hamzah atau Datuk Seri Takiyuddin. Mereka dalam Jawatan Kuasa perundingan,” jawabnya ringkas.
Setakat ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuiddin Hassan, tidak menjawab panggilan ketika dihubungi untuk mendapatkan komen.
Terdahulu, Fadillah dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan tidak menetapkan syarat kepada PN untuk mendapatkan agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan masih menunggu tawaran rasmi daripada blok pembangkang itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang sebelum ini.
Katanya, walaupun PN yang memulakan isu meminta peruntukan turut diagihkan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun mereka tidak memberikan maklum balas sewajarnya apabila diminta mengemukakan tawaran rasmi.
Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi manifestonya, berjanji mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, peruntukan itu tidak disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.