Jika Silap Percaturan Agih Kerusi Antara PH-BN Bakal Undang Padah – Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bakal kehilangan Negeri Sembilan dan kemerosotan sokongan di Selangor serta Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sekiranya tersilap percaturan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN).

Memetik laporan Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, pembahagian kerusi yang tidak tepat dilihat akan menimbulkan keresahan di kawasan sokongan Melayu dan bukan Melayu seperti di pinggir bandar.

Kata beliau, pemerhatian mendapati, kawasan bandar akan diberikan kepada PH sementara luar bandar pula diserahkan kepada Umno untuk ditandingi.

“Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) tidak berdepan masalah kerana terdiri daripada parti yang berfokus kepada sokongan tradisi seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula dengan mudah memperoleh kerusi majoriti bukan Melayu di kawasan bandar.

“Saya melihat PN lebih selesa dalam pembahagian kerusi, tetapi parti itu juga perlu berkira-kira (bekerjasama) dengan ahli-ahli Umno yang keluar atau dibuang parti. Pemimpin Umno yang dihalang bertanding jawatan kanan dan yang tewas dalam pemilihan bahagian baru-baru ini boleh meraih sokongan untuk PN.

“Pilihan raya di enam negeri kelak merupakan platform terbaik untuk menilai kebarangkalian wajah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Status quo se­perti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang boleh digunakan untuk menilai sokongan PH sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk PN,” katanya.

Sementara itu, mengulas persetujuan pembahagian kerusi PH dan BN, Idris berkata, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu merupakan yang terbaik sejak penolakan rakyat terhadap BN bermula pada PRU11.

Jelasnya, PH tidak berupaya bergerak bersendirian dan memerlukan parti lain untuk membentuk kerajaan.

“Kerjasama dengan Bersatu dalam PRU14 menjadikan mereka kerajaan selama 22 bulan dan kini mentadbir semula negara dengan bantuan BN. Persoalannya, adakah penerimaan pengundi terhadap PH terhakis kerana BN bersama mereka atau sokongan BN boleh bertambah bila bersama PH?

“Sokongan dan penolakan perlu mengambil kira keupayaan dan kecekapan serta keberkesanan kerajaan perpa­duan dalam menjuarai isu-isu rakyat seperti ketirisan, salah guna kuasa dan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin. Selain itu, mereka juga perlu mengambil kira kekuatan PN yang menguasai tiga negeri ketika ini,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat